Skip to main content

Dunia

BN-PH perlu bekerja keras sekat gelombang hijau di Johor, kata Ahmad Maslan

Anggaran Waktu Membaca:
BN-PH perlu bekerja keras sekat gelombang hijau di Johor, kata Ahmad Maslan

(Gambar fail: Malaysiakini)

Diterbitkan : 19 Aug 2023 02:50PM Dikemas Kini : 19 Aug 2023 02:51PM
PONTIAN: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja keras menyekat 'gelombang hijau' Perikatan Nasional sebelum menjadi ancaman kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan berkata, PAS juga berada di Johor dan mereka turut cuba memenangi PRK bagi mendapat sokongan rakyat.

Jelasnya, PAS kini hanya mempunyai satu kerusi di DUN Johor iaitu DUN Maharani yang diwakili Abdul Aziz Talib.

"PAS ini ada di mereta tempat termasuk di Johor, dan mereka tetap mencuba.

"Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di Selangor melanda Johor. Di mana dahulu PAS cuma ada lima kerusi, tetapi sekarang bersama PN mereka ada 22 kerusi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian semasa program Pemimpin Bersama Masyarakat Madani peringkat DUN Pulai Sebatang di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Pontian, pada Sabtu (19 Ogos), seperti dipetik Sinar Harian.

Encik Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I menegaskan, penjelasan perlu dibuat tentang penubuhan Kerajaan Perpaduan dan sebab DAP berada dalam gabungan kerajaan yang dibentuk BN dan PH itu bagi menepis gelombang hijau.

"Jentera BN dan PH perlu buat penjelasan tentang dua perkara iaitu sebab Kerajaan Perpaduan ditubuhkan kerana titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan negara.

"Seterusnya mengenai DAP yang berada di gabungan ini. Kedua-dua perkara ini saya lihat tidak difahami oleh pengundi sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang lalu kerana kurang penjelasan diberikan," katanya, lapor Sinar Harian.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan menyusuli kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos manakala pengundian awal pada 5 September dan hari pengundian pula pada 9 September.

Sementara itu, Encik Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor memaklumkan 24 bahagian UMNO di negeri itu akan menjadi bapa angkat kepada setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di UMNO Bahagian Bakri dan Pulai.

"Pengerusi UMNO Johor, Mohamed Khaled Nordin akan mengetuai jentera pilihan raya BN, manakala saya akan bertindak di Parlimen Pulai," katanya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita