Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN, PH masing-masing yakin akan bentuk kerajaan

Anggaran Waktu Membaca:
BN, PH masing-masing yakin akan bentuk kerajaan

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 19 Nov 2022 01:18PM Dikemas Kini : 19 Nov 2022 02:10PM
KUALA LUMPUR: Pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini meluahkan keyakinan bahawa gabungan parti politik masing-masing mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan.

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN dapat memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, berdasarkan laporan yang diterima pihaknya menerusi kiraan yang dilakukan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negara.

"Setelah ditolak jangkaan pengundi tidak hadir sebanyak 20 peratus, insya-Allah BN masih mendahului gabungan parti-parti yang lain. 

"BN mengharapkan dan berdoa mudah-mudahan kita akan dapat jumlah kerusi yang mencukupi bagi BN membentuk kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pengundian di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk, Perak pada Sabtu (19 Nov).

Sementara itu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim pula yakin dengan peluang kemenangan PH pada pilihan raya kali ini.

Anwar yang juga calon Parlimen Tambun berkata keadaan semasa dengan semangat penyokong PRU15 seolah-olah melepasi situasi semasa PRU14 yang lepas.

“Kami telah melakukan yang terbaik dan amat yakin berdasarkan penilaian awal dan keghairahan pengundi yang ingin melihat perubahan pada negara, terutamanya dalam kalangan orang muda," katanya selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BN dan PH antara empat gabungan politik besar negara yang memasuki gelanggang PRU15 selain Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air (GTA).

Dijangka lebih 20 juta pemilih berdaftar akan keluar mengundi pada PRU15 hari ini bagi memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan