Skip to main content

Dunia

BN perlu menang dahulu sebelum fikirkan tentang Kabinet, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
BN perlu menang dahulu sebelum fikirkan tentang Kabinet, kata Ismail Sabri

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Nov 2022 07:19AM Dikemas Kini : 15 Nov 2022 07:20AM
KUALA SELANGOR: Barisan Nasional (BN) perlu fokus untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum memikirkan mengenai barisan Kabinet yang baru, kata Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Encik Ismail Sabri berkata beliau bagaimanapun akan memastikan saiz Kabinet yang akan dibentuk nanti adalah lebih kecil berbanding jumlah menteri sekarang dengan menggabungkan beberapa kementerian.

“Jadi kita kena menang dulu, kalau tak menang saya pun tak jadi Perdana Menteri. BN mesti menang dahulu.. selepas menang BN, insya-Allah saya akan ambil kira semua kepentingan, kena ada teknokrat, kena ada ahli politik."

"Cuma saya bagi jaminan bahawa yang saya akan kecilkan Kabinet saya kerana Kabinet sekarang terlalu besar... ini janji saya tetapi siapa yang menjadi Menteri Kabinet akan saya tentukan,” katanya kepada media selepas Program Santai Anak Muda Kuala Selangor di Puncak Alam, Isnin (14 Nov) malam.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga calon BN di Parlimen Kuala Selangor.

Mengenai dakwaan pihak Perikatan Nasional (PN)yang menyatakan bahawa BN meniru manifesto mereka mengenai pemberian taraf kerakyatan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia, Encik Ismail Sabri berkata BN juga boleh mengatakan perkara yang sama kepada parti itu.

Dalam pada itu, Encik Ismail Sabri turut menaruh keyakinan kepada Tengku Zafrul untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya ini.

“Saya terkejut dengan sambutan (rakyat) begini hebat dan saya percaya apa yang digambarkan malam ini itulah yang akan menjadi undi kepada Tengku Zafrul nanti."

"Saya percaya yang datang ramai-ramai malam ini menunjukkan sokongan kepada Tengku Zafrul dan saya yakin beliau boleh memenangi kerusi di Kuala Selangor,” katanya.

"Insya-Allah jika Tengku Zafrul menang, dia akan berada di dalam Kabinet, Kuala Selangor bertuah kerana mempunyai calon yang hebat, saya harap kita sama-sama nobatkan Tengku Zafrul sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor," katanya.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita