Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN perlu dominan di Putrajaya; mudahkan keputusan penting dilaksanakan, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
BN perlu dominan di Putrajaya; mudahkan keputusan penting dilaksanakan, kata Ismail Sabri

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera pada 15 Okt 2022.

BERA, 15 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) perlu menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya menjadi dominan di Putrajaya, sekali gus membolehkan keputusan penting dapat dilaksanakan dengan mudah, kata Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kemenangan BN, ditambah dengan kerjasama rakan-rakan parti dari Sabah dan Sarawak, juga dapat menghilangkan 'rasa tidak stabil' selain tidak lagi perlu mengharap ihsan pihak lain.

"Ketika ini walaupun saya Perdana Menteri, namun BN dalam kerajaan hanya menyumbang 42 kerusi, tidak banyak... betul mereka (pembangkang) setuju dengan saya sebagai Perdana Menteri, namun kita rasa tidak kuat. Tumbang atau tidak kerajaan, kalau ada lima yang tarik (sokongan), boleh tumbang. Sentiasa rasa tidak stabil.

"Pembangkang sudah tandatangan perjanjian memorandum persefahaman, tetapi jika mereka tidak sokong dalam Parlimen semasa mengundi juga, kita tak boleh menang. Kita ini mengharapkan undi dia. Jadi yang terbaik adalah jangan mengharap orang tetapi kita sendiri yang menentukan hala tuju negara," katanya.

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Bera hari ini (15 Okt).

Encik Ismail Sabri berkata kemenangan besar BN dapat membentuk sebuah negara stabil, yang tidak berlaku sejak akhir-akhir ini apabila semakin banyak kritikan terbuka terhadap dirinya dibuat pemimpin parti, termasuk daripada mereka yang bergabung dalam kerajaan.

"Kalau makin lama, makin teruk lagi kritikan dan asakan dan sudah tentu saya tidak boleh mentadbir kerajaan dengan sempurna seperti di peringkat awal saya menerajui pentabiran negara," katanya.

Encik Ismail Sabri menambah ia antara faktor beliau memohon supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15.

Beliau berkata pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu membawa isyarat kepada semua jentera gerak kerja BN supaya perlu bekerja keras untuk mencapai kemenangan buat BN kerana masa untuk pilihan raya 'sudah sangat dekat'.

Gerak kerja juga perlu meliputi penguasaan media sosial, menerusi kreativiti untuk menyebarkan mesej dan naratif kerajaan serta menjawab fitnah daripada pembangkang, yang sering menggunakan platform tersebut.

"Penguasaan media sosial kita mesti lebih daripada mereka (pembangkang). Mereka buat mudah sahaja tetapi menarik seperti sebuah lagu yang baru-baru ini popular. Kita juga perlu kreatif dan buat satu lagu (bertajuk) cukup sekali... cukup sekali janji dia.

"Kita perlu menjawab tuduhan mereka di media sosial. Dulu (PRU14) kita kalah kerana tidak menjawab fitnah mereka. Kalau dulu sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-11, mungkin orang tidak begitu melihat media sosial tetapi sekarang semua sudah pandai dan sudah ada pelbagai kumpulan WhatsApp," katanya.

Encik Ismail Sabri, yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera, turut mengingatkan jentera parti di bahagian itu bahawa mereka mempunyai 'tugas lebih berat’ berbanding pilihan raya umum lalu, memandangkan kerusi Parlimen itu menjadi tumpuan semua pihak kali ini kerana ia kerusi yang dipegang Perdana Menteri.

Selain itu, tambah beliau lagi, gerak kerja itu juga perlu memastikan kemenangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di bawah Parlimen Bera, iaitu Guai dan Kemayan, dikekalkan di samping merampas kembali DUN Triang daripada DAP.
Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan