Skip to main content

Dunia

BN menang besar PRK Chini; masa untuk bekerja sudah bermula, kata Mohd Sharim

Mohd Sharim Md Zain, yang diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam (4 Jul), mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
BN menang besar PRK Chini; masa untuk bekerja sudah bermula, kata Mohd Sharim

"Masa untuk bekerja sudah bermula," kata Mohd Sharim.

Diterbitkan : 05 Jul 2020 07:57AM Dikemas Kini : 05 Jul 2020 08:00AM

PEKAN: Mohd Sharim Md Zain, yang diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam (4 Jul), mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Menyifatkan masa untuk bekerja sudah bermula sebaik sahaja diisytiharkan sebagai pemenang, Mohd Sharim, 41 tahun, berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan bagi tujuan itu, beliau akan bertemu dengan semua pemimpin masyarakat setempat.

Mengakui dirinya masih mentah dalam hal politik, Mohd Sharim, yang merupakan generasi kedua Felda Chini 3, berkata beliau sedia untuk belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak sebagai mentor.

"Alhamdulillah semuanya berakhir dengan baik untuk BN (Barisan Nasional). Sekarang adalah masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk saya menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan.

"Tapi, saya berjanji akan melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan," katanya semasa ditemui Bernama di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, semalam.

Mohd Sharim tiba di IKBN sekitar 8.45 malam, diiringi pimpinan UMNO termasuk presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Wan Rosdy, Najib, Ketua Pemuda Dr Asyraf Wajdi dan Setiausaha Agung Ahmad Maslan bagi meraikan kemenangan beliau.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga membolehkan dirinya menang besar PRK itu, iaitu dengan majoriti 12,650 undi yang diakuinya melebihi daripada jangkaan.

Jumlah itu, akui Mohd Sharim tidak boleh dicapai sekiranya pengundi luar tidak pulang menunaikan kewajipan mereka, menyebabkan beliau secara peribadi amat terharu dengan sokongan tersebut.

Selain pengundi, Mohd Sharim juga mengakui beliau terhutang budi dengan jerit perih jentera PRK itu yang bukan hanya melibatkan BN, tetapi juga PAS dalam kerjasama Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional.

"Mereka bertungkus lumus dalam tempoh dua minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon Bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan terhadap kemampuan mereka.

"Semangat muafakat semua membuahkan hasil apabila BN memperoleh kemenangan dengan majoriti yang sangat besar, dan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil jika kami semua bekerjasama," katanya.

Pada PRK itu, Mohd Sharim mempertahankan kerusi milik BN itu selepas memperoleh 13,872 undi untuk menewaskan dua calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi manakala Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi.

Kedua-dua calon Bebas disahkan hilang wang deposit.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60 tahun, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.
 

Sumber : Bernama/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita