Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN mahu kekalkan rentak kemenangan di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Pasukan Barisan Nasional (BN) di Johor berharap prestasi kerajaan negeri yang ditadbirnya sejak Mac lalu, berupaya memikat semula para pengundi untuk memihak kepada parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pertumbuhan ekonomi Johor begitu memberangsangkan setelah kerajaan negeri bertukar tangan ke BN sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Pelaburan luar yang berjaya diraihnya dalam tempoh separuh pertama tahun ini mencecah RM 60.9 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

Jumlah itu 822% lebih tinggi berbanding pelaburan yang diraih sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi para penduduk Johor, ada yang sudah merasakan perbezaannya meskipun terdapat cabaran-cabaran lain seperti inflasi.

"Sekarang kurang kerja, maksudnya tak macam dulu, kerja banyak, sekarang macam kurang sedikit, sebab barang dari import tak boleh masuk," kata Cik Idah yang menetap sekitar kawasan Simpang Renggam.

Sebelum PRN diadakan pada Mac lalu, kerajaan negeri Johor berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Meskipun sudah bertukar tangan ke BN, ada juga penduduk seperti Encik Yassin yang tidak merasakan adanya pembaharuan.

"Saya kira tidak ada perbezaan, sama sahajalah," katanya.

Namun begitu, manfaat pertumbuhan dari segi pelaburan asing itu dapat dinikmati penduduk seperti Encik Rahman yang menetap di Ulu Benut.

Beliau berpendapat: "Ada nampak perubahan dia, macam maju sedikit."

Menurut pemantauan pengarah operasi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, penerimaan dan sokongan terhadap BN memberangsangkan.

Beliau yang juga adalah Menteri Besar Johor sudah menyediakan pelbagai rancangan pembangunan.

Ini termasuk melebarkan lebuh raya di Johor bagi memudahkan pergerakan dan mengurangkan kesesakan.

Peruntukan bagi projek itu yang menelan belanja berjuta-juta ringgit juga sudah disediakan, menurut Encik Onn Hafiz.

Namun beliau berharap kerusi-kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Johor dapat dimenangi semula oleh BN agar pihak kerajaan negeri sehaluan dengan pentadbiran kerajaan persekutuan.

Ini agar projek pembangunan yang sudah dirancangkan itu tidak terbantut kelak.

"Para penduduk berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri dan hari ini saya berharap dan berdoa yang mereka berikan haluan yang sama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Jadi kita dapat berganding tangan dalam menjadikan Johor lebih makmur," kata Encik Onn Hafiz yang juga cicit kepada pengasas UMNO, Onn Jaafar.

Beliau juga berharap prestasi pentadbirannya akan dapat memberi keyakinan kepada rakyat untuk menyokong BN dalam PRU kali ini.

Ini di samping mengekalkan momentum PRN Mac lalu di mana BN menang besar di Johor, menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN.

Meskipun prestasi kerajaan negeri yang ditakluki semula oleh BN sejak Mac lalu membawa pertumbuhan dari segi pelaburan asing dan peluang pekerjaan di Johor, ia tetap bukan jalan yang mudah untuk calon-calon BN merampas kembali kerusi-kerusi Parlimen yang mereka hilang dalam PRU yang lalu.

Selain perlu berdepan dengan nama-nama besar pihak lawan seperti Encik Muhyiddin Yassin di Pagoh dan Syed Saddiq di Muar, konflik dalaman BN juga menjejas kepercayaan rakyat.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan