Skip to main content

Dunia

BN kemuka 3 nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan

Anggaran Waktu Membaca:
BN kemuka 3 nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi ceria ketika mengikuti perkembangan semasa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Markas BN, Wisma UMNO Negeri Sembilan. Turut kelihatan, Setiausaha Agung Barisan Nasional Dr Asyraf Wajdi Dusuki. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Aug 2026 07:37AM Dikemas Kini : 02 Aug 2026 10:55AM

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu sudah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Presiden UMNO itu berkata beliau sudah menyampaikan watikah berkenaan ketika menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di Seremban pada Sabtu (1 Ogos) malam.

"Saya serahkan ketiga-tiga nama itu atas budi bicara Tuanku untuk perkenan dan hak mutlak Tuanku untuk memilih seorang daripada mereka sebagai calon Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap.

Menurut BH Online, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Jalaluddin Alias antara tiga nama diserahkan Barisan Nasional (BN) sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sumber parti itu memaklumkan kepada BH Online, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng yang juga mantan Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Mohd Asna Amin, turut dinamakan.

"Alhamdulillah, tahniah semua calon BN. Saya dititahkan untuk menghadap malam ini dan istana akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin… dengan 25 kerusi ini, atas perkenan Tuanku, kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN) akan terbentuk sebagai kerajaan baharu untuk Negeri Sembilan," katanya.

Awal dari itu, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Encik Ahmad Zahid pada kira-kira 10.00 malam.

Sementara itu, Encik Ahmad Zahid menerusi catatan di Facebook memaklumkan pada sesi menghadap tersebut, beliau sudah mempersembahkan hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN.

Beliau berkata BN menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Muhriz dan akan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat di negeri berkenaan.

Encik Ahmad Zahid berkata BN akan terus menjunjung tinggi, memelihara dan menghormati institusi diraja sebagai payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta teras kepada sistem Raja Berperlembagaan. 

Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita