Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN kembali tadbir kerajaan negeri Melaka, cadang lima ketetapan agenda transformasi kestabilan politik

Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan lima ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan bagi mewujudkan kestabilan politik negara bermula di Melaka berikutan kejayaan gabungan itu meraih majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Anggaran Waktu Membaca:
BN kembali tadbir kerajaan negeri Melaka, cadang lima ketetapan agenda transformasi kestabilan politik

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Nov 2021 11:54PM Dikemas Kini : 20 Nov 2021 11:55PM

MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan lima ketetapan yang menjurus kepada agenda transformasi dan pengukuhan bagi mewujudkan kestabilan politik negara bermula di Melaka berikutan kejayaan gabungan itu meraih majoriti lebih dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15.

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan mencadangkan ketetapan itu pada sesi persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

"Agenda pertama adalah memperkenal Enakmen Anti Lompat dan meminda peruntukan undang-undang berkaitan bagi menangani isu ‘lompat’ dalam kalangan wakil rakyat di DUN Melaka," katanya dalam sidang media selepas BN memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN itu.

Beliau berkata ketetapan kedua pula adalah mengusulkan kerjasama antara wakil rakyat untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal sekurang-kurangnya empat tahun dari tarikh pertama persidangan.

Katanya turut dicadangkan adalah memperkenal amalan undi percaya konstruktif bagi memastikan sebuah kerajaan tidak mudah dijatuhkan.

Ketetapan lain yang dicadangkan adalah memperkenal agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka untuk membolehkan semua wakil rakyat memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang, pembuatan dasar dan semak serta imbang terhadap kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berkata ketetapan yang dicadangkan selaras dengan agenda kestabilan politik yang menjadi teras gabungan BN dan kemenangannya pada PRN Melaka adalah isyarat jelas hasrat rakyat negeri itu.

"Kejayaan yang telah diberikan kepada BN akan dibalas oleh kita dengan memberikan perkhidmatan terbaik serta melaksanakan segala janji yang terdapat dalam manifesto BN.

"Dengan kemenangan ini, BN juga mengiktiraf permintaan rakyat yang mahukan kestabilan politik kembali di Melaka... insya-Allah, kestabilan politik ini kita akan terjemahkan di seluruh negara dalam PRU (Pilihan Raya Umum) nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya malam ini mengumumkan BN memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada 28 kerusi DUN yang dipertanding dalam PRN Melaka.

BN mencatat kemenangan cemerlang dan bergaya dengan gabungan UMNO, MCA dan MIC itu memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka malam ini, sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Calon-calon dari Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) yang bertanding lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) yang tampil buat pertama kali dengan bertanding satu kerusi serta 22 calon Bebas tidak memenangi sebarang kerusi.

Kali terakhir BN memperoleh majoriti dua pertiga di Melaka ialah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila memenangi 23 kerusi.

Keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri, yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Mohd Ali sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri, juga gagal memenangi kerusi yang ditandingi mereka.

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan