BN kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan hingga tamat penggal: Ahmad Zahid
Encik Ahmad Zahid ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri KKDW Bersama Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar (MEXCLUB) Ke-61 Bilangan 1 Tahun 2026 di Hotel Bahang Bay hari ini. (Gambar: Bernama)
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN berkata komitmen tersebut selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah berubah.
“Saya tidak ada niat langsung, tiada langkah Bangkok ke, langkah Dubai ke, kami (BN) pegang bahawa apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah.
“Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya. Biarkanlah orang bercakap, asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama, untuk kestabilan politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61 hari ini (23 Jul).
Turut hadir Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Pulau Pinang Rashidi Zinol dan Ketua Pemuda BN Dr Muhamad Akmal Saleh.
Mengulas laporan mengenai penutupan pusat daerah mengundi (PDM) BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Encik Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata isu berkenaan sedang ditangani oleh kepimpinan negeri.
“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Jalaluddin Alias dan kebetulan kawasan itu berada dalam kawasan Parlimen beliau (Jelebu).
“Perkara itu sedang dalam perjalanan untuk penyelesaian. Kita ada tempoh kira-kira sembilan hari lagi dan saya fikir perkara itu boleh diselesaikan,” katanya.
Terdapat laporan yang menyatakan PDM BN Klawang enggan beroperasi berikutan tanda bantahan selepas BN tidak meletakkan calon di DUN tersebut bagi PRN Negeri Sembilan.
Bagi PRN Negeri Sembilan kali ini, DUN Klawang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Bakri Sawir, Danni Rais calon Perikatan Nasional (PN) dan Muhammad Adib Musa (BERSATU).
Sementara itu, Encik Ahmad Zahid menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan rasmi antara BN dan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama politik untuk dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Beliau berkata cadangan itu hanya disebut dalam ucapan kempen dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi, sebaliknya harus diperhalusi terlebih dahulu dengan pihak terlibat.
Semasa sidang media sama, Encik Ahmad Zahid turut berseloroh membalas pantun yang dikongsikan Perdana Menteri semalam dengan menyampaikan pantun yang puitis dan sarat dengan maksud tersendiri.
“Mendaki ke Gunung Tahan, jatuh ke gaung temui maut. Bumbung tercabut, mampu ditahan. Jika ribut, diterbang ke laut," katanya.
Beliau juga berkata hubungan dengan Encik Anwar masih baik dan mesra seperti sebelum ini walaupun bersaing antara satu sama lain pada PRN Negeri Sembilan.
Semalam, Encik Anwar berkongsi serangkap pantun mengenai pentingnya kesepakatan dan disiplin dalam sesebuah persahabatan dan permuafakatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.