Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN janji pinda Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 jika diberi mandat

Barisan Nasional (BN) berikrar akan meminda Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 bagi mempermudahkan urusan mengenai urus niaga tanah jika Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Anggaran Waktu Membaca:
BN janji pinda Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 jika diberi mandat

(Gambar fail: Manan VATSYAYANA/AFP)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 01:55PM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 01:56PM

MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan meminda Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966 bagi mempermudahkan urusan mengenai urus niaga tanah jika Barisan Nasional (BN) terus diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu Sulaiman Md Ali berkata urus niaga itu termasuk permohonan pelanjutan tempoh pajakan tanah.

“Kepada pengundi kaum Tionghua khususnya, sekiranya BN diberikan mandat kita akan meminda Kaedah-Kaedah Tanah Melaka 1966.

“Dalam hal ini pemilik tanah termasuk di kampung baru dan kedai boleh memohon pelanjutan tempoh pajakan apabila tempoh pajakan berbaki 10 tahun berbanding saat-saat akhir sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Ayer Keroh, Melaka hari ini (19 Nov).

Terdahulu inisiatif meminda kaedah tersebut terkandung dalam manifesto BN bermotokan ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’, yang mengandungi lima teras, 103 inisiatif bersifat inklusif dan realis, khusus untuk orang Melaka.

Dalam pada itu, beliau juga memberi jaminan untuk meneruskan rancangan menyelesaikan isu banjir yang menjadi isu utama penduduk dan belum diselesaikan oleh pimpinan terdahulu.

“Apa lagi saya nak kata tentang banjir ini. Isu ini berlarutan sejak sekian lama, ia memang ada dalam rancangan kita, sejumlah RM930 juta (S$301.9 juta) telah diperuntukkan untuk melaksanakan projek-projek (berkaitan isu banjir), tetapi ia akan siap dalam masa lima tahun. 

“Untuk penyelesaian jangka pendek dan sederhana kita telah dan akan laksanakan, jika kita terus diberi mandat, kita akan teruskan projek yang telah dirancang,” katanya.

Mengenai kempen BN setakat ini, Encik Sulaiman berkata ia berjalan lancar dan berharap kekal sehingga tempoh kempen tamat 11.59 malam ini.

Mengulas mengenai peluang BN setelah 12 hari kempen berjalan, beliau berkata parti itu diyakini memenangi lebih daripada 18 kerusi.

“Bukan kata 18 kerusi, kita yakin lebih daripada itu pun kita boleh dapat,” katanya.

Encik Sulaiman sehubungan itu merayu pengundi di negeri ini keluar menunaikan tanggungjawab mereka esok dan keluar awal bagi mengelakkan cuaca tidak diingini.

“Sekali lagi saya merayu kepada rakyat Melaka agar dapat memberikan mandat yang lebih besar dan kukuh kepada BN demi kestabilan dan demi kemakmuran bersama,” katanya yang akan mengundi pada 8.00 pagi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun, Alor Gajah.

Dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Lendu itu, Encik Sulaiman akan berdepan dengan Abdullah Mahadi daripada Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Asri Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Sulaiman menang di DUN itu dengan majoriti tipis 627 undi.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan