Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

BN fail petisyen; cabar keputusan sebilangan kerusi PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
BN fail petisyen; cabar keputusan sebilangan kerusi PRU15

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir menjawab soalan pemberita ketika meninjau Laman Media di lobi Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 13 Januari 2023. (Gambar: Astro AWANI)

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengesahkan sudahpun memfailkan petisyen di beberapa kerusi bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Demikian menurut laporan Astro AWANI. 

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir berkata, perincian mengenai petisyen berkenaan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Memang ada beberapa kawasan yang kita akan failkan. Nanti kita akan umumkan.

"Apabila kita fail (petisyen tersebut), tentunya ada asas-asas mengapa kita memfailkan," katanya kepada para pemberita ketika meninjau Laman Media di lobi Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) pada Jumaat (13 Jan). 

Sebelum ini, media melaporkan wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Petisyen berkenaan difailkan oleh Encik Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari lalu.

Petisyen berkenaan difailkan bagi mencabar keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Gua Musang yang didakwa berlaku politik wang.

Pada PRU15 lalu, percubaan Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang untuk kali ke-12 gagal apabila beliau kalah mengejut kepada calon PAS, Encik Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti tipis 163 undi.

Encik Zambry yang juga Menteri Luar menambah, petisyen tersebut difailkan di kerusi yang dimenangi oleh pelbagai parti dan tidak menolak ia melibatkan kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN).

"Jawatankuasa kita akan umumkan nanti. Kita sudah kenal pasti beberapa tempat dan secara tepatnya akan diumumkan nanti," ujar beliau lagi.

Mengenai pengisytiharan harta pula, Encik Zambry berkata, barisan Jemaah Menteri akan mematuhi arahan tersebut sekiranya diminta berbuat demikian.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan