Skip to main content

Dunia

BN boleh menang PRU15 jika diadakan dalam masa terdekat, kata pengamat politik

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Barisan Nasional (BN) boleh menerajui Putrajaya jika Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia ke-15 diadakan dalam masa yang terdekat.

Ini menyusuli kejayaan BN memperolehi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini.

Pengkaji sosiopolitik Profesor Awang Azman Awang Pawi berkata demikian kepada BERITAmediacorp pada Ahad (13 Mac).

Malah, sudah ada gesaan dalam BN kepada Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.

"Mengapa perlu diadakan segera? Sebab mereka melihat inilah momentum yang terbaik sebab mereka ingin mengambil ruang dan peluang ketika pembangkang kelihatan lemah.

"Jadi ini menyebabkan mereka perlu mengambil situasi ini sebelum kebangkitan pembangkang sekiranya waktu PRU diadakan pada hujung tahun atau tahun depan," ujar beliau.

MENGAPA TIDAK BOLEH DILEWATKAN?

Profesor Awang menambah jika PRU15 dijarakkan pada tempoh masa yang terlalu lewat daripada momentum diraih BN sekarang, landskap politik Malaysia mungkin kembali seperti yang sedia ada hari ini iaitu gabungan BN dengan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana pihak pembangkang akan mengambil masa sekarang ini untuk mengukuhkan strategi agar dapat bangkit lagi teguh.

Selain itu, pihak pembangkang masih ada peluang kerana beberapa parti dalam komponen luar BN masih mempunyai sokongan kuat di beberapa negeri lain.

Profesor Awang berkata: "Mereka perlu memikirkan kerjasama yang lebih strategik dan realistik. Maknanya mereka perlu berdasarkan kerusi kemenangan yang mereka menangi pada PRU 2018 dan tidak boleh apabila berlakunya pengagihan kerusi, parti yang kecil atau serpihan tiba-tiba meminta jumlah kerusi yang baik.

"Sudah tiba masanya mereka duduk semeja, berbincang dan bekerjasama mempunyai objektif yang sama untuk menentang Barisan Nasional dengan lebih baik."

KEPUTUSAN PRN JOHOR BUKAN SATU CERMINAN KESELURUHAN

Namun begitu, Zamil Kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berpendapat keputusan PRN Johor tidak boleh dijadikan sebagai cerminan apa yang berlaku di kerajaan pusat.

Beliau menjelaskan BN masih memerlukan sokongan parti-parti lain jika mahu memenangi PRU15 kerana parti seperti PAS dan Pejuang misalnya mempunyai kubu kuat di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Jika ada pilihan raya di peringkat nasional dinamikanya berbeza kerana ada kawasan ataupun negeri adalah kubu kuat PAS seperti di Kelantan dan Terengganu. Ada yang mungkin kubu kuat Parti Pejuang seperti di Kedah yang masih memainkan sentimen Tun Dr Mahathir Mohamad. Ada yang golongan lain-lain dan Sabah dan Sarawak pula dinamikanya berbeza.

"Jadi banyak sekali perkara-perkara yang perlu difikirkan sebelum kita memikirkan Johor ini adalah manifestasi pilihan rakyat di seluruh Malaysia," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Dr Norshahril bagaimanapun setuju bahawa pihak pembangkang mahupun PN perlu berbincang dan memikirkan langkah yang lebih strategik, khususnya dalam pengagihan kerusi dipertandingkan.

PRN Johor menyaksikan persaingan lebih dua calon di semua kerusi dengan ada beberapa kerusi pula menyaksikan sehingga enam penjuru.

"Kalau kita kaji mengapa Pakatan Harapan boleh menang tahun 2018 adalah kerana kesepaduan pembangkang yang kita tidak lihat dalam Pilihan Raya di Johor ini. Kita lihat ada kerusi yang mungkin melihat lima atau enam penjuru.

"Justeru, apa yang mereka boleh fikirkan dan masanya sebenarnya tidak begitu lama dalam masa setahun ini, mereka harus melihat perjuangan mereka sebagai satu koalisi yang lebih kukuh dan mereka harus membahagikan kerusi berdasarkan kelebihan parti masing-masing," tegas beliau.

Selain itu, Dr Norshahril berpendapat pihak pembangkang boleh mempertimbangkan untuk menampilkan lebih ramai muka-muka baru agar rakyat Malaysia dapat menyaksikan serta menerima agensi perubahan yang dilakukan sebagai permulaan.

PRU15 dilaporkan bakal berlangsung selepas pertengahan tahun ini dengan Perhimpunan Agung UMNO mulai lusa hingga 19 Mac dikatakan sebagai petanda besar bila Pilihan Raya Umum Malaysia akan diadakan.

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita