Skip to main content

Dunia

Blinken tangguh lawatan ke China dek insiden belon perisikan

Anggaran Waktu Membaca:
Blinken tangguh lawatan ke China dek insiden belon perisikan

Gambar fail Setiausaha Negara AS Antony Blinken menghadiri sebuah mesyuarat dengan Menteri Luar China Wang Yi di Nusa Dua, Bali pada 9 Julai 2022. (Gambar: Pool photo menerusi AP/Stefani Reynolds)

Diterbitkan : 04 Feb 2023 07:38AM Dikemas Kini : 04 Feb 2023 01:01PM
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken menangguhkan lawatan ke China yang dijangka bermula pada Jumaat (3 Feb), selepas belon perisikan China dikesan berlegar merentasi AS.

ABC News memetik seorang pegawai AS sebagai berkata bahawa Encik Blinken enggan mengeruhkan keadaan dengan membatalkan lawatannya tetapi juga tidak mahu insiden belon pengintip itu mendominasi pertemuannya dengan para pegawai China.

Insiden itu jelas mencetuskan kegemparan politik di AS.
Pentagon mendedahkan pada Khamis (2 Feb) bahawa ia sedang menjejaki sebuah belon perisikan China yang terbang tinggi di benua AS. Para pegawai Pentagon malah berkata bahawa pemimpin tentera mempertimbangkan untuk meembak jatuh belon tersebut yang didapati sedang terbang di ruang udara Montana pada Rabu (1 Feb). Mereka bagaimanapun memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana bimbang risiko keselamatan yang tercetus akibat serpihannya.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Ehwal Luar China menyatakan belon itu adalah untuk tujuan kaji cuaca awam dan tujuan saintifik lain. Pihaknya juga menzahirkan kekesalan bahawa belon itu sudah tersasar ke ruang udara AS.

Jurucakap Rumah Putih Jean-Pierre berkata pentadbiran AS maklum akan kenyataan oleh China itu "tetapi kehadiran belon ini di ruang udara jelas melanggar kedaulatan kami serta undang-undang antarabangsa. Ini tidak boleh diterima".

Penangguhan lawatan Encik Blinken itu, yang dipersetujui pada November oleh Presiden AS Joe Biden dan Presiden China Xi Jinping, akan menjadi tamparan kepada kedua-dua belah pihak.

Amerika Syarikat dan China menyifatkannya sebagai peluang tertunggak untuk menstabilkan hubungan yang semakin renggang.

Kali terakhir setiausaha negara AS melakukan lawatan ke China adalah pada 2017.
Sumber : AGENCIES/LL/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita