Skip to main content

Dunia

Blinken beri amaran ISIS akan cuba kukuhkan semula pengaruhnya di Syria

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken memberi amaran pada Isnin (9 Dis) bahawa ISIS akan cuba menggunakan tempoh ini untuk mengukuhkan semula keupayaannya di Syria dan Amerika Syarikat bertekad untuk tidak membiarkan perkara itu berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
Blinken beri amaran ISIS akan cuba kukuhkan semula pengaruhnya di Syria

Setiausaha Negara Amerika Antony Blinken. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 10 Dec 2024 07:16AM Dikemas Kini : 10 Dec 2024 07:18AM
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken memberi amaran pada Isnin (9 Dis) bahawa ISIS akan cuba menggunakan tempoh ini untuk mengukuhkan semula keupayaannya di Syria dan Amerika Syarikat bertekad untuk tidak membiarkan perkara itu berlaku.

Menurut Encik Blinken, rakyat Syria perlu memilih masa depan mereka sendiri, sambil menambah bahawa kenyataan oleh pemimpin pemberontak, Abu Mohammed al-Golani, ke arah membina tadbir urus yang inklusif di Syria dialu-alukan oleh Amerika Syarikat tetapi langkah sebenar adalah tindakan yang bakal diambil oleh pemberontak, bukan hanya apa yang mereka katakan sahaja.

Pemberontak Syria merampas ibu kota Damsyik tanpa ditentang pada Ahad (8 Dis) selepas serangan kilat mereka menyebabkan Presiden Bashar al-Assad melarikan diri ke Rusia selepas perang saudara selama 13 tahun dan lebih lima dekad pemerintahan autokratik keluarganya.

"Kejatuhan rejim ini adalah kekalahan bagi semua pihak yang mewujudkan huru-hara dan rasuah di Syria, khususnya Iran, Hezbollah dan Rusia. Lantaran itu, detik ini memberikan peluang bersejarah, tetapi ia juga membawa risiko yang besar," kata Encik Blinken semasa satu acara di Jabatan Negara.

"Sejarah menunjukkan betapa pantas detik-detik sebegini boleh berubah menjadi konflik dan keganasan. ISIS akan cuba menggunakan tempoh ini untuk mengukuhkan semula keupayaannya, untuk mewujudkan kubu meeka. Kami bertekad untuk tidak membiarkannya berlaku."

Penyingkiran Assad, selepas pemberontak menyerang Damsyik pada hujung minggu lalu, menghancurkan rangkaian pengaruh Iran di Timur Tengah, tetapi Israel, Amerika Syarikat dan negara-negara Arab mesti menangani risiko berlaku ketidakstabilan dan ekstremisme daripada mempengaruhi tampuk kepimpinan Syria yang bakal mengambil alih tadbir urus negara itu.

ISIS pada 2014 menguasai sebahagian besar Syria dan Iraq dan menubuhkan sebuah khilafah sebelum ia dihapuskan oleh perikatan tentera pimpinan Amerika Syarikat pada 2019.

Encik Blinken berkata Amerika Syarikat akan terus melindungi kakitangannya daripada sebarang ancaman.

Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menyatakan bahawa tenteranya melakukan berpuluh-puluh serangan udara ke atas kubu-kubu ISIS di bahagian tengah Syria pada Ahad (8 Dis).

Dalam kenyataannya, CENTCOM menegaskan bahawa serangannya bertujuan untuk ISIS tidak mengambil kesempatan daripada keadaan huru-hara di Syria.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita