Blinken beri amaran AS hampir putus asa dengan perjanjian nuklear Iran
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken memberi amaran pada Rabu (8 Sep) bahawa masa sudah suntuk bagi Iran untuk kembali mengadakan perjanjian nuklear.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken semasa sidang media di Baitulmakdis pada 25 Mei 2021. (Gambar fail: AFP)
RAMSTEIN: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken memberi amaran pada Rabu (8 Sep) bahawa masa sudah suntuk bagi Iran untuk kembali mengadakan perjanjian nuklear. Ini selepas satu laporan pedas oleh badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan isyarat Tehran bahawa ia akan mengambil sedikit masa untuk kembali mengadakan perbincangan.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengeluarkan satu laporan dengan kata-kata pedas pada Selasa (7 Sep), menyatakan tugas pemantauan di Iran "terjejas teruk" selepas Tehran menggantung beberapa pemeriksaan agensi PBB ke atas aktiviti nuklearnya.
Setelah Ebrahim Raisi, iaitu seorang berfahaman ultrakonservatif, mengambil alih sebagai presiden baru Iran, negara itu juga menyatakan bahawa perbincangan yang bertujuan untuk menghidupkan semula Pelan Tindakan Bersama Komprehensif (JCPOA) yang terhenti, tidak mungkin akan disambung semula selama dua hingga tiga bulan.
"Saya tidak akan menetapkan tarikh tetapi kita sudah hampiri tahap di mana tindakan tegas untuk kembali kepada pematuhan JCPOA tidak lagi menghasilkan manfaat yang diharapkan menerusi perjanjian itu," Encik Blinken memberitahu wartawan di Jerman. Ia sebagai respons kepada pertanyaan mengenai sejauh mana ia tidak mungkin lagi untuk kembali menadakan perjanjian.
Jerman mendapati penangguhan yang diisyaratkan oleh Tehran "mengambil masa terlalu lama", kata Menteri Ehwal Luar Heiko Maas.
Menteri Jerman itu berkata beliau sudahpun menghubungi rakan sejawatannya di Iran untuk menggesanya "kembali ke meja rundingan dengan lebih segera".
Bagaimanapun, Encik Maas berkata Berlin masih mengharapkan pemerintah baru Iran akan terus menyokong hasil rundingan yang sudahpun dicapai setakat ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.