Bisa ular Brazil mungkin diguna lawan COVID-19, menurut kajian
Sekumpulan penyelidik di Brazil mendapati molekul dalam bisa sejenis ular dipercayai mampu menghambat pembiakan koronavirus dalam sel monyet, yakni langkah pertama dalam penghasilan ubat untuk mengekang virus yang menyebabkan COVID-19.
Ular jenis jararacussu yang boleh didapati di Brazil (Gambar: Reuters/Carla Carniel)
SAO PAULO: Sekumpulan penyelidik di Brazil mendapati molekul dalam bisa sejenis ular dipercayai mampu menghambat pembiakan koronavirus dalam sel monyet, yakni langkah pertama dalam penghasilan ubat untuk mengekang virus yang menyebabkan COVID-19.
Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Molecules bulan lalu melaporkan bahawa molekul dari bisa ular kapak jenis "jararacussu pit" menghalang kemampuan virus untuk membiak sebanyak 75 peratus dalam sel monyet.
"Kami dapat menunjukkan komponen di dalam bisa ular ini mampu menyekat protein pembiakan yang sangat penting di dalam virus itu," kata Rafael Guido, seorang profesor di Universiti Sao Paulo dan pengarang kajian.
Molekul itu adalah peptid, atau rantaian asid amino, yang boleh berkait pada enzim koronavirus itu yang dipanggil PLPro, yang sangat penting dalam pembiakan virus. Proses ini boleh dilakukan tanpa menjejas sel lain.
Peptid itu dapat disintesis di makmal, kata Prof Guido dalam satu temu bual, sekali gus tidak perlu untuk menangkap atau membiak ular berkenaan.
"Kami bimbang orang ramai akan keluar memburu ular spesies itu di merata Brazil, dengan beranggapan mereka akan menyelamatkan dunia ... Bukan begitu!" kata Giuseppe Puorto, pakar herpetologi (kaji reptilia dan amfibia) yang menjaga koleksi biologi Institut Butantan di Sao Paulo. "Bukan bisa itu sendiri yang akan menyembuhkan koronavirus."
Para pengkaji seterusnya akan menilai keberkesanan pelbagai dos molekul yang berlainan dan sama ada ia mampu mencegah virus daripada memasuki langsung sel, menurut kenyataan dari Universiti Sao Paolo (Unesp), yang juga terlibat dalam penyelidikan itu.
Mereka berharap dapat menjalankan ujian ke atas sel manusia tetapi tidak memberikan sebarang garis masa.
Ular kapak jenis jararacussu pit adalah salah satu ular terbesar di Brazil, berukuran hingga 2 meter panjang. Ia boleh ditemui di kawasan pantai Hutan Atlantik dan juga terdapat di Bolivia, Paraguay, dan Argentina.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.