Bintang Hollywood Susan Sarandon, Hannah Einbinder ditahan atas tunjuk perasaan pro-Palestin
Bintang Hollywood Susan Sarandon dan pelakon rancangan televisyen Hacks, Hannah Einbinder antara individu yang ditahan para pegawai Jabatan Polis New York (NYPD) pada Khamis (24 Sep) ketika pihak berkuasa menyuraikan tunjuk perasaan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Susan Sarandon antara individu yang ditahan polis New York ketika penunjuk perasaan pro-Palestin menghalang First Avenue berhampiran ibu pejabat PBB menjelang ucapan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. (Gambar: AFP/Charly Triballeau)
- Susan Sarandon dan Hannah Einbinder antara individu ditahan NYPD pada 24 Sep di New York ketika tunjuk perasaan terhadap Benjamin Netanyahu disuraikan menjelang ucapannya di PBB.
- Menurut NYPD, tindakan dibuat selepas aduan tunjuk perasaan tidak dijadualkan yang menghalang persimpangan, walaupun peserta sudah diberi amaran supaya bersurai.
- Protes anjuran Jewish Voice for Peace membawa mesej menentang pembekalan senjata kepada Israel dan genosid, sementara puluhan wakil meninggalkan dewan ketika Netanyahu berucap.
- Netanyahu mengkritik penentang dan sekutu seperti Britain serta Perancis, manakala Sarandon berkata kelantangannya mengenai Gaza menjejaskan peluang kerjanya.
Rakaman AFP menunjukkan anggota Jabatan Polis New York (NYPD) menggari Sarandon ketika tunjuk perasaan diadakan menjelang ucapan Encik Netanyahu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sarandon terkenal menerusi filem Thelma & Louise.
Akhbar New York Post melaporkan Einbinder turut dibawa keluar dari tunjuk perasaan anjuran Jewish Voice for Peace. Para penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan mesej seperti "Hentikan Pembekalan Senjata kepada Israel" dan "Hentikan Genosid".
Jurucakap NYPD berkata para pegawai bertindak menyusuli aduan mengenai "tunjuk perasaan yang tidak dijadualkan" apabila para penunjuk perasaan menghalang sebuah persimpangan jalan.
"Anggota Biro Hal Ehwal Masyarakat NYPD mengeluarkan amaran dan menasihatkan para peserta supaya bersurai," kata jurucakap itu.
"Mereka terus menghalang persimpangan tersebut. Beberapa individu yang tidak mematuhi arahan ditahan," katanya tanpa menyatakan jumlah mereka yang ditahan.
Di dalam dewan Perhimpunan Agung PBB, puluhan wakil dari pelbagai negara meninggalkan dewan ketika Encik Netanyahu mula berucap.
Dalam ucapan itu, beliau mengkritik seteru serta sekutu yang tidak sehaluan dengannya sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk Britain dan Perancis yang baru-baru ini mengambil langkah mengiktiraf negara Palestin.
“Mereka menuduh Israel, negara sekecil ini, melakukan penjajahan. Penjajahan kononnya. Dan siapa yang menuduh kami? Antaranya pihak di Britain dan Perancis. Demi Tuhan, merekalah yang mencipta istilah itu,” kata Encik Netanyahu.
Sarandon, yang turut membintangi filem 'The Rocky Horror Picture Show', 'Dead Man Walking' dan 'The Witches of Eastwick', sebelum ini beberapa kali menyertai tunjuk perasaan berkaitan perang Israel di Gaza.
Pelakon Amerika Syarikat itu memberitahu wartawan di Festival Filem Venice bulan ini bahawa beliau kehilangan peluang pekerjaan kerana lantang menyuarakan pandangannya.
"Saya masih kehilangan tawaran berlakon baru-baru ini kerana terdapat agensi yang memberitahu orang ramai supaya jangan mengambil saya bekerja. Tetapi begitulah struktur kuasa," kata Cik Sarandon.
"Saya rasa terdapat perubahan dari segi pemahaman orang ramai mengenai keadaan ini. Namun, masih ada pihak dalam industri saya yang berpegang kuat pada pendirian mereka sebagai Yahudi dan pandangan mereka terhadap saya masih tidak berubah.
"Tetapi saya sudah menemui keluarga saya, golongan yang sehaluan dengan saya dan saya baik-baik saja," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.