Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bina jalan baru tidak akan selesaikan kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands, kata presiden persatuan setempat

Anggaran Waktu Membaca:
CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) meminta kerajaan Malaysia membatalkan cadangan membina jalan baru bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

Bercakap kepada Malaysiakini, presiden persatuan itu, Dilip Martin, berkata keputusan kerajaan membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata bernilai RM480 juta (S$141 juta) itu tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

"Kami terkejut dengan keputusan kerajaan bercadang membina jalan baru dari Habu ke Tanah Rata berikutan kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong."

"Ini kerana, titik utama kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands adalah bermula Tanah Rata menuju ke (pasar) Kea Farm dan bukannya dari Tanah Rata ke Habu. Jadi, kami percaya pembinaan jalan baru ini tidak akan menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dan satu lagi projek kroni untuk pihak tertentu," katanya.

Beliau juga meminta Kementerian Kerja Raya turun ke lapangan dan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya serta agensi-agensi yang berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian muktamad berhubung isu itu.

Encik Dilip berkata demikian memetik sesi soal jawab Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada 25 Mei berhubung isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui.

Dalam jawapan tersebut, kementerian itu menyatakan selain membina jalan baru bernilai RM480 juta (S$147 juta), kerajaan juga meluluskan RM142.92 juta (S$42 juta) untuk projek menaik taraf jalan dari bulatan McDonalds ke persimpangan Brinchang dan membina One Way Loop di Pasar Kea Farm.

Bagaimanapun, Encik Dilip berkata projek naik taraf jalan itu tidak akan mengatasi isu lalu lintas di pusat peranginan tersebut, lapor Malaysiakini.

"Bagaimana kamu nak naik taraf jalan di Brinchang atau Kea Farm, padahal kamu juga memberi kelulusan membuat pasar agro di tepi jalan di kawasan yang sama."

"Jangan salahkan pelancong. Saya selaku anak tempatan di sini, boleh mengesahkan ketiadaan tempat meletak kereta dari Tanah Rata sampai ke Kea Farm dan kelulusan gerai baru di tepi jalan adalah punca utama kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands."

"Ini yang patut diberi perhatian, bukan pembinaan jalan baru dari Habu yang tidak kena mengena dengan isu lalu lintas ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Encik Dilip juga meminta kerajaan menghidupkan semula projek Business Park di Cameron Highlands.

"Pada 2012, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) memperuntukkan RM30 juta (S$8.8 juta) untuk pembinaan Business Park di Cameron Highlands."

"Di bawah projek ini, semua gerai tepi jalan dipindah ke Business Park tersebut bersama-sama kemudahan-kemudahan lain seperti tempat letak kereta bertingkat, surau, tandas, gerai makanan, tempat letak bas dan lain-lain kemudahan.

"Tapi projek ini tidak dijalankan setelah RM3 juta (S$880,000) dibelanjakan untuk kajian tanah. Harap projek ini dapat dikembalikan untuk mengatasi isu kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan