Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bilangan penduduk kurang zat makanan naik lebih 2 kali ganda; cecah 1.9 juta pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
 Bilangan penduduk kurang zat makanan naik lebih 2 kali ganda; cecah 1.9 juta pada 2024

(Gambar fail: MOHAMMED ABED / AFP)

LONDON: Bilangan individu berdepan risiko kekurangan makanan yang melampau dengan peningkatan risiko malnutrisi (pemakanan tidak seimbang) akut dan kematian meningkat lebih dua kali ganda pada 2024 kepada 1.9 juta, menurut laporan yang dikeluarkan Rangkaian Global Menentang Krisis Makanan pada Khamis (5 Sep).

Agensi Anadolu memetik Laporan Global Mengenai Krisis Makanan (GRFC) pada tahun lalu yang mendedahkan bahawa seramai 705,000 orang dikategorikan dalam risiko "catastrophe" (bencana) tetapi jumlah itu melonjak kepada 1.9 juta pada 2024.

"Ini adalah jumlah tertinggi dalam laporan GRFC, yang didorong oleh konflik di Carikan Gaza dan Sudan," menurut laporan itu.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa Carikan Gaza kekal berdepan krisis makanan paling teruk dalam sejarah GRFC, dengan kesemua 2.2 juta penduduknya masih memerlukan bantuan makanan dan mata pencarian antara Mac dan April 2024.

"Krisis ini telah meningkat, dengan separuh daripada penduduk berada dalam keadaan “bencana” (IPC Fasa 5) dalam tempoh itu, meningkat daripada satu per empat pada Disember 2023-Februari 2024," menurut laporan itu.

Di Sudan, kebuluran sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga Oktober 2024.

"Banyak kawasan lain di seluruh negara berisiko menghadapi kebuluran tetapi kekurangan data menghalang analisis bagi banyak kawasan yang sukar dicapai," menurut laporan itu.

Dianggarkan 25.6 juta orang di Sudan menghadapi tahap kekurangan makanan akut yang tinggi dari Jun hingga September, meningkat 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Konflik itu turut memberi kesan serius terhadap keselamatan makanan dan pemakanan serantau, dengan lebih 2 juta orang terpaksa melarikan diri ke negara jiran, terutamanya negara yang mengalami krisis makanan utama seperti Chad dan Sudan Selatan," menurut kajian itu.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan