Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bilangan mangsa banjir Terengganu, Kelantan semakin merosot

Keadaan banjir di dua negeri di Pantai Timur Malaysia semakin pulih dengan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula ditutup dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Bilangan mangsa banjir Terengganu, Kelantan semakin merosot

Budak-budak bermain air di luar sebuah pusat perlindungan sementara di Kelantan pada Dis 2019 (Gambar: D Kanyakumari)

Diterbitkan : 06 Dec 2019 08:54AM Dikemas Kini : 06 Dec 2019 08:59AM

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di dua negeri di Pantai Timur Malaysia semakin pulih dengan beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula ditutup dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Di Terengganu, setakat Khamis (5 Dis), 8.00 malam, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 642 orang daripada 164 keluarga berbanding 981 mangsa daripada 245 keluarga di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pada petangnya.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan (JKM) melaporkan jumlah mangsa di Kuala Nerus berkurangan kepada 447 orang (119 keluarga) berbanding 609 orang (155 keluarga) pada Khamis petang di lima PPS, manakala di Kuala Terengganu pula, hanya satu PPS yang dibuka yang menempatkan 195 orang dari 45 keluarga berbanding 372 orang (90 keluarga) petang semalam.

Tinjauan Bernama di Besut dan Hulu Terengganu mendapati penduduk yang sudah kembali ke rumah giat membersihkan persekitaran rumah dengan bantuan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari seluruh negara.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 7,595 mangsa membabitkan 2,998 keluarga berbanding 9,830 dari 3,757 keluarga, petang semalam.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan jumlah mangsa banjir di Pasir Mas susut kepada 4,753 mangsa (2,000 keluarga) ditempatkan di 15 PPS berbanding 6,710 mangsa (2,663 keluarga), semalam petang.

Tumpat juga mencatatkan penurunan kepada 2,842 mangsa (999 keluarga) berbanding 3,120 mangsa (1,094 keluarga).

Laman ebanjir.kelantan.gov.my juga menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas terus susut kepada 9.91 meter berbanding 9.98 meter (bahaya 9 meter) yang dilaporkan Khamis petang.

Paras Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat juga susut kepada 2.83 meter daripada 2.88 meter.
Di Johor, keadaan banjir di Parit Sulong dekat Batu Pahat terus kekal dengan 21 orang daripada empat keluarga yang masih berada di PPS.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan