Skip to main content

Dunia

Biden-Xi bertemu, tekankan komunikasi lebih baik, elak konflik

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan rakan sejawat di China, Xi Jinping memulakan sidang puncak pertama antara kedua-dua negara kuasa besar itu pada Isnin (15 Nov) secara maya dengan menekankan perlunya dipertingkat komunikasi antara dua kuasa besar itu serta mengelakkan konflik.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden-Xi bertemu, tekankan komunikasi lebih baik, elak konflik

Gambar: AP

Diterbitkan : 16 Nov 2021 11:58AM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 12:11PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan rakan sejawat di China, Xi Jinping memulakan sidang puncak pertama antara kedua-dua negara kuasa besar itu pada Isnin (15 Nov) secara maya dengan menekankan perlunya dipertingkat komunikasi antara dua kuasa besar itu serta mengelakkan konflik.

Brcakap dari Rumah Putih, Presiden Biden menekankan matlamat beliau hendak memastikan persaingan antara kedua-dua negara tidak berubah menjadi konflik.

"Bagi saya, kita sebagai pemimpin China dan AS bertanggungjawab untuk memastikan persaingan antara kedua-dua negara tidak terjerumus menjadi konflik, sama ada secara sengaja ataupun tidak. Hanya persaingan yang terus terang dan mudah," katanya.

Justeru, beliau berkata, mereka akan mengadakan perbincangan yang 'berterus terang'.

Presiden Xi yang bercakap dari Beijing pula memanggil Encik Biden sebagai "sahabat lama" dan berkata Amerika dan China perlu bekerja lebih rapat lagi.

"Kita sama-sama berdepan pelbagai cabaran. Sebagai dua ekonomi terbesar di dunia dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, China dan Amerika Syarikat perlu
meningkatkan komunikasi dan kerjasama," kata Encik Xi dalam ucapan awam ringkas melalui jurubahasa sebelum mereka masuk ke dalam bilik tertutup.

Sidang puncak Biden-Xi berlangsung ketika hubungan dua kuasa besar itu semakin tegang.

Kedua-duanya bertelagah dalam pelbagai isu termasuk hak asasi manusia, Taiwan dan perdagangan.

Presiden Biden dan Presiden Xi pernah berbual sebanyak dua kali sejak tampuk pentadbiran Rumah Putih digantikan daripada Donald Trump kepada Encik Biden sejak Januari lepas.

Disebabkan Presiden Xi enggan melakukan perjalanan ke luar negara susulan pandemik COVID-19, mesyuarat secara maya adalah satu-satunya pilihan untuk sidang puncak itu.

Meskipun demikian, pertemuan itu diharap dapat memperbaiki hubungan dua gergasi dunia itu sekali gus memberikan kelegaan kepada sekutunya di rantau Asia untuk mencapai kestabilan ekonomi.

Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, berkata mesyuarat itu adalah 'satu peluang untuk menetapkan terma persaingan dengan China' dan menegaskan supaya kepimpinan di Beijing 'bertindak dengan mematuhi peraturan.'

Semasa sidang puncak Glasgow, Scotland, minggu lalu, kedua-dua pemimpin tersebut mengejutkan dunia apabila mengeluarkan kenyataan bersama yang berikrar untuk berganding tangani isu perubahan iklim.

"Hubungan baik serta kukuh antara China dengan AS adalah perlu bagi menjaga persekitaran antarabangsa yang aman dan stabil," kata Presiden Xi. 

Sumber : AFP/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita