Biden usul kenaikan cukai bagi golongan terkaya untuk biaya pelaburan: Rumah Putih
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan mengusulkan kenaikan cukai ke atas hasil pelaburan golongan individu terkaya untuk membayar pelan barunya bagi membantu keluarga-keluarga di Amerika Syarikat, kata seorang ahli ekonomi utama Rumah Putih pada Isnin (26 Apr).
(Gambar: AP/Evan Vucci)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden akan mengusulkan kenaikan cukai ke atas hasil pelaburan golongan individu terkaya untuk membayar pelan barunya bagi membantu keluarga-keluarga di Amerika Syarikat, kata seorang ahli ekonomi utama Rumah Putih pada Isnin (26 Apr).
Encik Biden pada minggu ini dijangka memperincikan Pelan Keluarga Amerika bernilai AS$1.8 trilion (S$2.3 trilion) yang akan menyediakan jagaan kanak-kanak nasional, cuti kekeluargaan berbayar dan kolej masyarakat percuma dengan mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya untuk mengimbangi kos lebih tinggi.
Levi lebih tinggi terhadap keuntungan yang diperolehi daripada penjualan saham dan aset lain hanya akan menjejas mereka yang meraih pendapatan AS$1 juta (S$1.3 juta) setahun, iaitu sekumpulan kecil pembayar cukai warga Amerika seramai 500,000 orang, kata ketua Majlis Ekonomi Nasional Rumah Putih Brian Deese.
"Perubahan ini hanya terpakai ke atas tiga persepuluh daripada satu peratus pembayar cukai, yang bukan 1 peratus tertinggi, ia juga tidak sampai separuh daripada 1 peratus tertinggi," katanya kepada para wartawan, menukil data pemfailan cukai 2018.
Perubahan itu akan membantu "mengimbangi kos jangka panjang daripada pelaburan itu dengan membuat pembaharuan pada kod cukai yang memberi ganjaran atas kerja keras dan bukan hanya kekayaan", kata Encik Deese.
Beliau tidak memberi sebarang butiran tentang cukai lebih tinggi yang baru itu, namun laporan media pada minggu lalu menukil para pegawai sebagai berkata pelan itu meningkatkan kadar cukai keuntungan modal kepada 39.6 peratus daripada 20 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.