Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden umum AS bunuh pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri di Afghanistan

"Keadilan sudahpun ditegakkan dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi," kata Encik Biden mengenai pembunuhan Ayman al-Zawahiri.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden umum AS bunuh pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri di Afghanistan

Petikan skrin video Ayman al-Zawahiri pada 2012. (Gambar: SITE Intelligence Group/AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2022 09:27AM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 09:27AM
WASHINGTON, DC: Presiden Joe Biden mengumumkan pada Isnin (1 Ogos) bahawa Amerika Syarikat (AS) sudah membunuh pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri, salah seorang pengganas yang paling diburu di dunia dan disyaki mendalangi serangan-serangan 11 Sep 2001.

Dalam ucapannya di televisyen, Encik Biden berkata serangan di Kabul, Afghanistan itu dilancarkan pada Sabtu (30 Jul).

"Saya memberikan kata putus untuk menyerangnya," kata beliau, sambil menambah tiada orang awam yang cedera dalam insiden itu.

"Keadilan sudahpun ditegakkan dan pemimpin pengganas ini sudah tiada lagi," kata Encik Biden.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden berkata Ayman terbunuh di beranda rumahnya di Kabul dalam serangan dron dan tiada askar AS dikerahkan ke Afghanistan.

Pegawai itu berkata kehadiran Ayman di ibu kota Afghanistan, Kabul adalah "pencabulan jelas" perjanjian yang ditandatangani Taliban dengan AS di Doha pada 2020, yang membuka jalan bagi pengunduran AS dari Afghanistan.

Ia adalah serangan dron pertama AS yang diketahui ke atas kubu Al-Qaeda di Afghanistan sejak tentera AS berundur dari negara itu pada 31 Ogos 2021.

Ayman, seorang pakar bedah asal Mesir yang membesar dengan selesa di Kaherah sebelum menjadi radikal dan ganas, diburu selama 20 tahun sejak serangan 11 Sep, yang menyebabkan hampir 3,000 orang maut di AS.

Dia mengambil alih kepimpinan Al-Qaeda selepas Osama bin Laden dibunuh oleh pasukan khas AS di Pakistan pada 2011 dan diburu dengan upahan AS$25 juta (S$34 juta).

Pada hujung minggu lalu, menteri dalam negeri Afghanistan menyangkal laporan-laporan yang tersebar di media sosial tentang serangan dron di Kabul, sambil memberitahu AFP bahawa sebuah roket terkena "rumah kosong" di ibu kota itu dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Pada awal Selasa di Kabul, bagaimanapun, jurucakap Taliban Zahibullah Mujahid menulis di laman Twitter bahawa "serangan udara" dijalankan ke atas sebuah rumah di kawasan Sherpur di bandar itu.

"Butiran insiden itu tidak didedahkan pada awalnya. Agensi-agensi keselamatan dan risikan Amiriah Islam menyiasat insiden itu dan mendapati dalam siasatan awalnya bahawa serangan itu dijalankan dron-dron Amerika," tulisnya.
Sejak beberapa bulan lalu, Taliban sebahagian besarnya mengharamkan media daripada membuat liputan selepas berlaku insiden-insiden keselamatan dan kerap menafikan atau menurunkan jumlah mangsa yang cedera.

Berita itu diumumkan seminggu sebelum ulang tahun pertama pengunduran akhir tentera AS dari Afghanistan, meninggalkan negara itu di bawah kawalan Taliban yang bertarung dengan tentera Barat sejak dua dekad lalu.

AS berundur selepas Taliban berjanji untuk tidak membenarkan Afghanistan digunakan lagi sebagai tapak kegiatan ekstremis antarabangsa, tetapi pakar-pakar percaya kumpulan itu tidak pernah memutuskan hubungan dengan Al-Qaeda.

DARI DOKTOR KEPADA ANGGOTA MILITAN

Ayman, 71, tidak memiliki karisma seperti Osama yang membantunya menghimpunkan para anggota militan dari seluruh dunia, namun menyalurkan kemahiran analitiknya secara sukarela bagi tujuan Al-Qaeda.

Dia dipercayai adalah ahli strategi utama - dalang sebenar yang mengendalikan operasi, termasuk serangan-serangan 11 Sep serta doktor peribadi Osama.

Bapa Ayman adalah seorang ahli fizik yang terkenal dan datuknya pula imam di Institut Al-Azhar di Kaherah.

Dia terlibat dalam masyarakat Islam radikal Mesir pada usia muda dan menerbitkan beberapa buku mengenai fundamentalisme Islam, yang melambangkan gerakan radikal Islam.

Dia meninggalkan Mesir pada pertengahan 1980-an dan menuju ke Peshawar, Pakistan.

Pada masa itulah, apabila ribuan pejuang militan membanjiri Afghanistan pada 1980-an, Ayman dan Osama bertemu.

Pada awal 1990-an, Ayman dipercayai tinggal di Eropah sebelum menyertai Osama di Sudan atau Afghanistan.

Pada 1998, dia adalah salah seorang daripada lima individu penandatangan "fatwa" Osama, yang menggesa serangan ke atas AS dan dia mula muncul secara tetap di samping pemimpin Al-Qaeda itu.
Sumber : AFP/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa