Biden tuntut tentera Myanmar 'lepaskan kuasa'
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menggesa para panglima angkatan tentera Myanmar agar "melepaskan kuasa" pada Khamis (4 Feb) dan menuntut agar mereka membebaskan para pemimpin pemerintah awam yang ditahan semasa rampasan kuasa pada minggu ini,

(Gambar: AFP)
YANGON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menggesa para panglima angkatan tentera Myanmar agar "melepaskan kuasa" pada Khamis (4 Feb) dan menuntut agar mereka membebaskan para pemimpin pemerintah awam yang ditahan semasa rampasan kuasa pada minggu ini, sedang pentadbirannya menyatakan ia mempertimbangkan sekatan-sekatan.
Washington mengetuai kecaman antarabangsa terhadap rampasan kuasa pada Isnin, yang mana para pemimpin demokratik termasuk Cik Aung San Suu Kyi ditahan. Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pihak tentera akan kembali melaksanakan pemerintahan tentera yang pernah berkuasa selama berdekad-dekad.
"Tiada sebarang keraguan: dalam sebuah demokrasi, kekerasan sama sekali tidak boleh digunakan untuk mengatasi keinginan rakyat atau cuba memadam keputusan pilihan raya yang sah," menurut Encik Biden dari Washington, dalam ucapan dasar luar negara yang pertamanya sebagai presiden.
"Pihak tentera Myanmar patut melepaskan kuasa yang mereka rampas, membebaskan para aktivis dan pegawai yang mereka tahan, menarik balik sekatan dalam telekomunikasi, dan menahan diri daripada keganasan."
Encik Biden berucap beberapa jam selepas penasihat keselamatan negaranya, Jake Sullivan, berkata bahawa Rumah Putih sedang "meneliti sekatan-sekatan tertentu terhadap para individu dan pertubuhan yang dikawal oleh pihak tentera yang memperkayakan tentera". Beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Amaran Amerika Syarikat itu dikeluarkan selepas para panglima tentera Myanmar mengarahkan para penyedia internet untuk menyekat akses kepada Facebook pada Khamis. Ini setelah orang ramai menggunakan platform media sosial untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan berkongsi rancangan untuk menentang pihak tentera.
Aplikasi yang dimiliki Facebook seperti Instagram dan WhatsApp juga mengalami gangguan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.