Biden tuduh China tahan 'maklumat penting' asal usul COVID-19
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, pada Jumaat (27 Ogos), menuduh China menahan 'maklumat penting' berhubung asal usul COVID-19.
(Gambar: Agensi berita)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, pada Jumaat (27 Ogos), menuduh China menahan 'maklumat penting' berhubung asal usul COVID-19.
Beliau berkata demikian selepas masyarakat perisikan Amerika merumuskan bahawa COVID-19 bukan virus yang dibangunkan sebagai senjata biologi, namun masih berbeza pendapat sama ada virus itu terlepas daripada sebuah makmal.
Amerika Syarikat bagaimanapun tidak percaya bahawa pegawai China mempunyai pengetahuan awal mengenai virus tersebut sebelum pandemik berkenaan tercetus dan kini meragut lebih 4.5 juta jiwa, menurut rumusan laporan perisikan yang ditunggu-tunggu itu.
"Maklumat penting mengenai asal usul pandemik ini ada di China. Namun dari awal lagi, pegawai pemerintah di China berusaha menghalang penyiasat antarabangsa dan aanggota masyarakat kesihatan awam global daripada mengaksesnya," kata Presiden dalam satu kenyataan.
"Hingga ke hari ini, China masih terus menahan maklumat dan menolak desakan untuk telus, meskipun jumlah kematian akibat pandemik ini terus meningkat."
Encik Biden menegaskan, Amerika Syarikat bersama sekutunya akan terus memberi tekanan ke atas Beijing supaya berkongsi lebih banyak maklumat serta bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Kita harus memperoleh maklumat penuh dan telus mengenai tragedi global ini," katanya.
Dalam satu kenyataan, pada Jumaat, kedutaan China di Washington menyelar laporan masyarakat perisikan Amerika itu dan mempertahankan tindakan Beijing dalam menangani pandemik COVID-19 serta siasatan WHO.
"Laporan oleh masyarakat perisikan Amerika menunjukkan negara itu menuju ke arah manipulasi politik yang salah,"kata kedutaan itu dalam satu kenyataan.
"Laporan masyarakat perisikan itu adalah berdasarkan andaian kesalahan pada China, dan ia hanya untuk menjadikan China sebagai kambing hitam," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.