Skip to main content

Dunia

Biden, pemimpin G7 salur bantuan keselamatan makanan global bernilai AS$4.5 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Biden, pemimpin G7 salur bantuan keselamatan makanan global bernilai AS$4.5 bilion

Gambar Hiasan: Presiden AS Joe Biden dan para pemimpin lain G7 (Gambar: JONATHAN ERNST POOL/AFP)

Diterbitkan : 29 Jun 2022 04:48PM Dikemas Kini : 29 Jun 2022 04:49PM
ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan para pemimpin G7 akan mengumumkan bantuan bagi menangani krisis dasar keselamatan makanan global berjumlah lebih AS$4.5 bilion (S$6.2 bilion) lapor agensi berita Anadolu.

Encik Biden dijangka akan mengumumkan pembiayaan tambahan bernilai AS$2.76 bilion (S$3.8 bilion) bagi membantu melindungi golongan paling rentan di dunia dan mengurangkan impak daripada krisis Rusia-Ukraine.

Pembiayaan tambahan itu disalurkan di tengah-tengah ketidakstabilan dasar keselamatan makanan dan kekurangan zat yang semakin meningkat, menurut kenyataan Rumah Putih pada Selasa (28 Jun).

Sebanyak AS$2 bilion (S$2.7 bilion) akan disalurkan untuk bantuan kecemasan, manakala AS$760 juta (S$1.055 bilion) digunakan bagi bantuan makanan jangka pendek untuk mengurangkan kadar kemiskinan, kebuluran dan kekurangan zat di negara-negara yang terjejas akibat harga makanan, baja dan bahan api yang tinggi.

Pelaburan itu bertujuan untuk menyokong usaha lebih 47 negara dan pertubuhan serantau menangani kekurangan baja dan pembelian biji benih.

Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) memperuntukkan AS$640 juta (S$888 juta) bagi menyokong program pertanian dan keselamatan makanan demi mengukuhkan kapasiti dan daya tahan sektor pertanian di lebih 40 negara -- 24 di Afrika, sepuluh di Asia dan masing-masing enam di Amerika Latin dan Timur Tengah.

AS menyediakan AS$2.8 bilion (S$3.8 bilion) bagi bantuan bekalan makanan kecemasan di negara-negara yang terjejas akibat krisis makanan yang dilanda perang, menurut Rumah Putih.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita