Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden luluskan sekatan, pembekuan aset ke atas pemimpin tentera Myanmar

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu (10 Feb) menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin tentera Myanmar yang bertanggungjawab ke atas rampasan kuasa di negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden luluskan sekatan, pembekuan aset ke atas pemimpin tentera Myanmar

(Gambar: AFP/Saul Loeb)

Diterbitkan : 11 Feb 2021 03:44PM Dikemas Kini : 11 Feb 2021 03:50PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu (10 Feb) menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin tentera Myanmar yang bertanggungjawab ke atas rampasan kuasa di negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Encik Biden berkata "peringkat pertama" akan dikenal pasti minggu ini, menyasarkan pemimpin tentera yang "mengarahkan rampasan kuasa, kepentingan perniagaan mereka, dan juga ahli keluarga rapat mereka."

"Tentera mesti mengembalikan kuasa yang dirampasnya dan menghormati kehendak rakyat Myanmar seperti yang dinyatakan dalam pilihan raya 8 November mereka," kata Encik Biden di Rumah Putih, mengulangi seruan kepada Tamtadaw, gelaran rasmi untuk tentera Myanmar, agar membebaskan pemimpin politik dan masyarakat awam yang ditahan semasa rampasan kuasa.

Encik Biden berkata pentadbirannya telah memulakan langkah-langkah yang akan menghalang panglima tentera "daripada mengakses dana pemerintah Myanmar bernilai AS$1 bilion (S$1.32 bilion) di AS."

"Kami membekukan aset AS yang menguntungkan kerajaan Myanmar sambil mengekalkan sokongan untuk penjagaan kesihatan, kumpulan masyarakat awam dan kawasan-kawasan lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Myanmar," katanya.

Bantahan terhadap rampasan kuasa di jalan raya Myanmar memasuki hari kelima pada Rabu meskipun polis mengambil tindakan keras dan telah mengakibatkan dua kematian.

Beberapa penunjuk perasaan cedera, dua kritikal, setelah polis di ibu negara pentadbiran Myanmar, Nay Pyi Taw, melepaskan tembakan meriam air dan peluru getah ketika berhadapan penunjuk perasaan pada Selasa. Ia kejadian pertama sejak tunjuk perasaan anti-kudeta bermula.

Protes berskala besar berterusan di Yangon dan bandar-bandar di seluruh negara itu pada Rabu. Pada masa sama, kakitangan kerajaan berbaris sebagai menyokong bantahan awam yang dimulakan oleh pekerja kesihatan.

Encik Biden berkata arahan kekerasan terhadap penunjuk perasaan "menunjukkan hak demokrasi mereka tidak diterima."

"Rakyat Myanmar mahu suara mereka didengari, dan dunia sedang memerhatikan," katanya memberi amaran.

Tentera Myanmar mengisytiharkan darurat pada 1 Februari, menahan Presiden Win Myint, Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, dan pemimpin kanan lain dari parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dengan alasan penipuan dalam pilihan raya.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan