Skip to main content

Dunia

Biden, Kadhimi sahkan perjanjian akhiri misi tempur AS di Iraq

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhimi pada Isnin (26 Jul) memeterai perjanjian secara rasmi menamatkan misi tempur Amerika Syarikat di Iraq menjelang hujung 2021, lebih dari 18 tahun setelah tentera Amerika Syarikat dihantar ke negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden, Kadhimi sahkan perjanjian akhiri misi tempur AS di Iraq

Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhimi (kiri) berjabat tangan dengan Presiden AS Joe Biden pada 26 Jul 2021 di Rumah Putih (Gambar: AFP/SAUL LOEB)

Diterbitkan : 27 Jul 2021 09:20AM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 09:25AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhimi pada Isnin (26 Jul) memeterai perjanjian secara rasmi menamatkan misi tempur Amerika Syarikat di Iraq menjelang hujung 2021, lebih dari 18 tahun setelah tentera Amerika Syarikat dihantar ke negara itu.

Seiring dengan langkah Presiden Biden mengundurkan pasukan terakhir Amerika Syarikat di Afghanistan menjelang hujung Ogos, presiden dari parti Demokrat itu sedang menyelesaikan misi pertempuran Amerika Syarikat dalam dua perang yang dimulakan oleh Presiden George W Bush semasa tempoh jawatannya dahulu.

Presiden Biden dan PM Kadhimi mengadakan pertemuan dan perbincangan pertama secara empat mata di Pejabat Bundar sebagai sebahagian daripada dialog strategik antara Amerika Syarikat dengan Iraq.

"Peranan kami di Iraq adalah... untuk bersedia, terus melatih, membantu, menolong dan menangani ISIS ketika ia muncul, tetapi kami tidak akan, menjelang hujung tahun ini, berada dalam misi pertempuran," kata Presiden Biden kepada para wartawan semasa pertemuannya dengan PM Kadhimi.

Buat masa ini terdapat 2,500 tentera Amerika Syarikat di Iraq yang menumpukan perhatian kepada usaha-usaha memerangi saki-baki ISIS. Peranan Amerika Syarikat di Iraq akan beralih sepenuhnya kepada latihan dan menasihati tentera Iraq untuk mempertahankan diri.

Peralihan itu tidak dijangkakan akan membawa kesan besar kerana Amerika Syarikat sudahpun mula beralih tumpuan kepada latihan pasukan Iraq.

Sebuah perikatan yang dipimpin Amerika Syarikat menyerang Iraq pada Mac 2003 berdasarkan dakwaan-dakwaan bahawa pemerintah Iraq pimpinan Saddam Hussein ketika itu memiliki senjata pemusnah raya. Encik Saddam digulingkan, namun senjata seperti itu tidak pernah dijumpai.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini misi Amerika Syarikat tertumpu kepada usaha menolong menumpaskan militan ISIS di Iraq dan Syria.

PERJANJIAN BUKAN TENTERA

Kenyataan Amerika Syarikat-Iraq itu dijangka akan memperincikan beberapa perjanjian bukan ketenteraan yang berkaitan dengan kesihatan, tenaga dan perkara-perkara lain.

Amerika Syarikat merancang untuk memberi Iraq 500,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer/BioNTech di bawah program perkongsian vaksin COVAX global. Presiden Biden berkata bekalan dos itu akan tiba dalam masa beberapa minggu.

Amerika Syarikat juga akan memberikan AS$5.2 juta (S$7.06 juta) untuk membantu membiayai misi PBB untuk memantau pilihan raya pada bulan Oktober di Iraq.

"Kami mengalu-alukan pilihan raya pada bulan Oktober," kata Presiden Biden.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita