Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden isytihar tamat 'perang selamanya' di Afghanistan

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden membuat pembelaan tegas pada Selasa (31 Ogos) mengenai keputusan "wajar" untuk meninggalkan Afghanistan dengan memberitahu rakyatnya bahawa beliau enggan menghantar generasi seterusnya untuk bertempur dalam 'perang selamanya'.

Anggaran Waktu Membaca:
Biden isytihar tamat 'perang selamanya' di Afghanistan

Presiden AS, Joe Biden. (Gambar fail: Chip Somodevilla/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 10:57AM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 11:07AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mempertahankan dengan tegas keputusan untuk meninggalkan Afghanistan dengan memberitahu rakyatnya bahawa beliau enggan menghantar generasi seterusnya untuk bertempur dalam 'perang selamanya'.

Menurut Encik Biden dalam ucapannya pada Selasa (31 Ogos), pengunduran sepenuhnya tentera AS dari Afghanistan, yang selesai pada Isnin selepas 20 tahun peperangan dengan Taliban, adalah keputusan paling bijak dan tepat buat Amerika.

Selepas dikritik hebat pemimpin pembangkang dari Republican kerana terburu-buru untuk keluar dari Afghanistan, Encik Biden berkata beliau hanya melakukan apa yang patut dilakukan sejak bertahun-tahun dahulu.

"Saya tidak akan selama-lamanya melanjutkan lagi perang dan pengunduran ini," katanya.

Pemindahan itu, ungkap beliau, adalah "kejayaan luar biasa".

Bercakap di Dewan Jamuan Negara di Rumah Putih, Encik Biden mengetepikan kritikan itu apabila beliau memperincikan kos perang yang luar biasa dengan lebih 2,400 tentera AS terkorban dan sehingga AS$2.3 trilion (S$3.1 trilion) dibelanjakan - namun, ia berakhir dengan Taliban kembali berkuasa.

"Saya mengambil tanggungjawab di atas keputusan ini," katanya.

"Saya membuat komitmen kepada rakyat Amerika bahawa saya akan menamatkan perang ini. Hari ini, saya menghormati komitmen itu. Sudah sampai waktunya untuk bersikap jujur," ungkap beliau.

"Selepas 20 tahun di Afghanistan, saya menolak untuk menghantar generasi seterusnya anak lelaki dan anak perempuan Amerika untuk berperang," katanya.

Encik Biden juga menegaskan dalam ucapannya bahawa rakyat AS yang masih berada di Afghanistan - kebanyakan mereka memiliki dua kewarganegaraan - akan dibenarkan oleh Taliban untuk keluar jika mereka mahu.

Walaupun tidak jelas berapa ramai rakyat Amerika yang sebenarnya dihalang untuk keluar daripada Afghanistan, isu itu adalah isu politik bahaya bagi Encik Biden.

Bagi mereka yang masih terkandas, "tidak ada tarikh akhir untuk keluar. Kami tetap komited untuk membawa mereka keluar jika mereka mahu," katanya. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan