Skip to main content

Dunia

Biden ikrar lancar semula misi PLO di Washington tapi hadapi cabaran undang-undang

 Rancangan Presiden Joe Biden untuk melancarkan semula misi diplomatik Palestin di Washington mungkin akan tertangguh akibat undang-undang yang mendedahkan para pegawai Palestin kepada tuntutan mahkamah antipengganasan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Biden ikrar lancar semula misi PLO di Washington tapi hadapi cabaran undang-undang

Presiden AS Joe Biden (Gambar: AP/Patrick Semansky)

Diterbitkan : 29 Jan 2021 11:58PM Dikemas Kini : 30 Jan 2021 12:00AM

WASHINGTON: Rancangan Presiden Joe Biden untuk melancarkan semula misi diplomatik Palestin di Washington mungkin akan tertangguh akibat undang-undang yang mendedahkan para pegawai Palestin kepada tuntutan mahkamah antipengganasan. Demikian menurut para pegawai dan penasihat bagi pihak Palestin.

Pentadbiran Biden berharap untuk memulihkan hubungan dengan Palestin setelah ia terjejas teruk di bawah pentadbiran mantan Presiden Donald Trump. Beliau bertindak menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington pada 2018 dan memotong bantuan bernilai jutaan dolar kepada para penduduk di Tebing Barat dan Carikan Gaza.

Namun, di bawah pindaan antipengganasan yang diluluskan Kongres dan ditandatangani oleh Encik Trump pada 2019, Palestin boleh dikenakan penalti kewangan bernilai AS$655.5 juta (S$870 juta) sekiranya pihaknya membuka sebuah pejabat di Amerika Syarikat.

Terdapat juga persoalan mengenai bagaimana Encik Biden akan memenuhi ikrar untuk menyambung semula bantuan ekonomi kepada warga Palestin. Akta Taylor Force, yang diluluskan Kongres pada 2018, menyekat beberapa bantuan sehingga Palestin menamatkan bayaran kepada para individu yang dijel oleh Israel atas jenayah kejam, antara syarat-syarat yang lain.

Bercakap kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa, Pemangku duta AS Richard Mills berkata Washington "berhasrat untuk mengambil langkah-langkah untuk melancarkan semula misi diplomatik yang sudah ditutup untuk pentadbiran AS yang sebelumnya", tanpa sebarang jangka masa.

Cabaran-cabaran undang-undang menunjukkan pelbagai cabaran yang mungkin dihadapi Encik Biden dalam memulihkan hubungan dengan Palestin serta mengubah semula tindakan-tindakan yang diambil oleh Encik Trump. Ini termasuk, mengubah dasar Timur Tengah AS yang sudah wujud buat sekian lama dengan satu siri langkah yang memihak kepada Israel, seperti mengakhiri bangkangan AS terhadap penempatan Israel di Tebing Barat.

Palestin menyatakan bahawa tindakan itu mencemari peranan Amerika Syarikat sebagai pengantara utama dalam konflik mereka dengan Israel dan mengurangkan lagi sebarang peluang untuk perjanjian damai yang sepatutnya menyaksikan sebuah negara Palestin di kawasan takluk Israel.

Para pemimpin Palestin mengalu-alukan ikrar Encik Biden berkenaan perdamaian. Namun meskipun beliau boleh mengubah beberapa langkah menerusi perintah eksekutif, yang lain melibatkan undang-undang yang diluluskan oleh Kongres, sekali gus bukan mudah untuk diubah.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita