Skip to main content

Dunia

Biden bertegas Amerika tidak akan sokong serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Biden bertegas Amerika tidak akan sokong serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran

(Gambar fail: Kent Nishimura / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata pada Rabu (2 Okt) bahawa beliau tidak akan menyokong sebarang serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik Iran dan menggesa Israel supaya bertindak "berkadar" terhadap musuh ketatnya itu.

Presiden Biden berkata demikian sehari selepas Iran melepaskan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel dalam satu tindakan yang sebelum ini disifatkannya sebagai "tidak berkesan."

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berikrar bahawa Iran akan menanggung padah atas serangannya itu.

"Kami akan berbincang dengan Israel apa yang mereka akan lakukan, tetapi kami bertujuh (negara-negara anggota G7) bersetuju bahawa mereka (Israel) berhak untuk bertindak balas tetapi mereka harus bertindak balas secara berkadar," kata Presiden Biden kepada para wartawan sebelum menaiki pesawat Air Force One.

Sesetengah penganalisis berkata tindak balas Israel mungkin lebih dahsyat berbanding ketika Iran melepaskan peluru berpandu dan dron ke Israel pada April lalu, sekali gus membayangkan bahawa kali ini ia mungkin menyasarkan kemudahan nuklear atau telaga minyak Tehran.

Ada juga yang menjangkakan bahawa Amerika akan mencuba sekali lagi untuk menyederhanakan tindak balas Israel bagi mengelak peperangan yang meluas di rantau itu.

Apabila ditanya sama ada Amerika akan menyokong sebarang serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran, Presiden Biden memberitahu para wartawan: "Jawapannya adalah tidak".

Presiden Biden berkata lebih banyak sekatan akan dikenakan ke atas Iran dan beliau akan berbincang dengan Encik Netanyahu tidak lama lagi.

"Jelas sekali, Iran jauh tersasar," katanya.

Para pegawai Israel telah memberitahu rakan-rakan sejawatan mereka dari Amerika bahawa mereka masih memuktamadkan sasaran, masa dan cara untuk bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran, menurut seorang pegawai di Washington.

Israel mungkin tidak merasakan ia harus untuk menyerang balas dengan serta-merta, memandangkan ia berjaya menggagalkan serangan Iran.

Tetapi Israel tidak mungkin akan menunggu lama kerana bimbang tindak balasnya akan hilang keberkesanannya jika serangannya ditangguhkan, dedah sumber Amerika.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita