Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Biden bakal bertanding dalam pilihan raya kerana demokrasi berisiko terhakis

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang berhasrat untuk bertanding sekali lagi bagi jawatan sama, pada Isnin (18 Sep) mengaku terdapat kebimbangan mengenai usianya.

Sekalipun demikian, Encik Biden berkata beliau akan bertanding kerana demokrasi berisiko terhakis.

Beliau berkata demikian di acara mengumpul dana bagi kempen pilihan rayanya semasa bertemu para pemimpin dunia di New York.

"Ramai orang prihatin tentang usia saya. Saya faham keprihatinan mereka. Percayalah, saya lebih mengetahui tentang diri saya berbanding orang lain," kata Encik Biden, 80 tahun, kepada penyokongnya di acara kutipan dana pada Isnin.

Encik Biden mengalahkan mantan Presiden Amerika Donald Trump, seorang calon parti Republican yang berlandaskan slogan "Jadikan Amerika Hebat Sekali Lagi" (MAGA) pada pilihan raya 2020.

Encik Biden mungkin sekali lagi bersaing dengan Encik Trump tahun depan, yang merupakan calon presiden utama parti Republican bagi pilihan raya 2024.

"Saya akan bertanding kerana demokrasi berisiko terhakis," kata Encik Biden.

"Tidak dinafikan, Donald Trump dan anggota Republican yang menyokong ikrar MAGA bertekad untuk memusnahkan demokrasi warga Amerika. Dan saya akan sentiasa mempertahankannya, melindungi dan berjuang untuk demokrasi kita."

Encik Biden akan berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini (19 Sep) dan dijangka menggesa para pemimpin untuk menyokong Ukraine dalam peperangannya menentang Rusia.

Beliau sudah berusaha untuk menyatukan seluruh dunia untuk menentang Presiden Rusia Vladimir Putin.

Encik Trump menarik perhatian dalam satu wawancara "Bertemu dengan Wartawan" NBC yang disiarkan pada Ahad (17 Sep), bahawa beliau mempunyai hubungan baik dengan Encik Putin.

Pada masa yang sama, Encik Trump berkata beliau juga bertindak tegas terhadap Rusia ketika beliau bertugas sebagai Presiden.

"Saya tidak akan berpihak kepada diktator seperti Putin. Mungkin Encik Trump dan rakan-rakan MAGAnya boleh tunduk patuh kepadanya, tetapi saya tidak akan melakukan demikian," kata Encik Biden.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan