Skip to main content

Dunia

Biden alu-alukan pembebasan kumpulan pertama tebusan; bertegas 'tidak akan henti berusaha' sehingga semua dibebaskan

Anggaran Waktu Membaca:
Biden alu-alukan pembebasan kumpulan pertama tebusan; bertegas 'tidak akan henti berusaha' sehingga semua dibebaskan

(Gambar: BRENDAN SMIALOWSKI / AFP)

Diterbitkan : 25 Nov 2023 07:33AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengalu-alukan pembebasan kumpulan pertama tebusan yang ditahan di Gaza, sambil menyifatkan pembebasan 13 warga Israel pada Jumaat (24 Nov) sebagai permulaan yang positif ke arah matlamat untuk membebaskan sekurang-kurangnya 50 tebusan wanita dan kanak-kanak, termasuk tiga warga Amerika dalam masa beberapa hari mendatang.

"Ia hanya satu permulaan, tetapi setakat ini, ia berjalan lancar," kata Presiden Biden kepada para wartawan di Nantucket pada petang Jumaat.

Beliau turut menarik perhatian kepada pembebasan beberapa warga Thailand yang telah diculik oleh Hamas, menurut laporan CNN. 

Tiga warga Amerika yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, termasuk Abigail Edan yang kini berusia 4 tahun, bukan sebahagian daripada kumpulan pertama tebusan, tetapi Presiden Biden sekali lagi menegaskan komitmennya untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kami juga tidak akan berhenti sehingga tebusan ini dibawa pulang dan mendapatkan kepastikan tentang keberadaan mereka," tegas Presiden Biden.

Presiden Biden berkata beliau menjangkakan tidak lama lagi beliau akan mendapatkan nama warga Amerika yang akan membentuk kumpulan kedua tebusan yang akan dibebaskan pada Sabtu (25 Nov), sambil berkata beliau "berharap ia seperti yang kami jangkakan." Sungguhpun demikian, Presiden Biden berkata beliau tidak tahu bila tiga warga Amerika itu akan dibebaskan, tetapi menekankan bahawa beliau masih "menjangkakan ia akan berlaku."

"Harapan dan jangkaan saya ialah ia akan berlaku tidak lama lagi," katanya mengenai kemungkinan tiga warga Amerika itu akan dibebaskan, seperti ditukil laporan CNN. 

Presiden Biden turut membayangkan gencatan senjata sementara itu mungkin dilanjutkan selama beberapa hari untuk membebaskan lebih daripada 50 tebusan yang dijangkakan.

"Saya fikir peluangnya agak cerah."

Tetapi apabila ditanya sama ada kesemua 10 warga Amerika yang tidak diketahui itu masih hidup, beliau berkata: "Kami tidak tahu tentang keadaan mereka."

Presiden Biden bagaimanapun memberikan penilaian yang suram tentang objektif Hamas apabila ditanya sama ada beliau mempercayai kumpulan itu, lapor CNN. 

“Saya tidak mempercayai Hamas untuk melakukan sesuatu yang betul. Saya hanya percaya Hamas akan bertindak balas terhadap tekanan,” katanya, sambil menambah bahawa Hamas “tidak peduli” tentang orang awam Palestin yang tidak bersalah.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita