Bicara kes SRC Najib: Peguam sahkan tokoh korporat dapat cek RM2.5 juta
Seorang peguam dari Firma Guaman Tetuan Zulkarnain Co memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini (25 Apr) bahawa seorang tokoh korporat,
Encik Najib Razak. (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
KUALA LUMPUR: Seorang peguam dari Firma Guaman Tetuan Zulkarnain Co memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini (25 Apr) bahawa seorang tokoh korporat, Encik Habibul Rahman Kadir Shah pernah menerima cek berjumlah RM2.5 juta (S$823,000) pada 2015.
Encik Ashraf Abdul Razak, 48 tahun, yang merupakan peguam peribadi Encik Habibul Rahman sejak 1996, berkata dia diberitahu oleh tokoh korporat itu bahawa cek berkenaan yang bertarikh 2 Feb 2015 adalah bayaran berkaitan dengan rundingan bekalan kontrak pertahanan dan dia diminta menguruskan cek tersebut.
Encik Habibul Rahman dikatakan pernah menjadi penasihat media kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata setelah cek tersebut didepositkannya, Encik Habibul Rahman sudah mengarahkannya mengeluarkan cek kepada isteri, anak-anaknya dan beberapa individu lain yang ditentukan tokoh korporat itu.
“Beliau (Habibul Rahman) berjumpa dengan saya dan memaklumkan bahawa beliau akan menerima pembayaran untuk khidmat rundingan bagi satu perkhidmatan bekalan ‘defence contract’.
“Beliau memaklumkan pecahan pembayaran beliau akan telitikan kepada saya kelak. Pada masa saya dipanggil untuk mengambil cek ini ada disediakan sepucuk nota kecil sebagai pengakuan antara beliau dan saya mengenai cek ini yang ditandatangani oleh beliau,” katanya.
Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan hari kelapan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Encik Najib.
Encik Ashraf berkata ketika itu juga Encik Habibul Rahman sedang menjalankan urusan bagi mendapatkan sebuah tender bagi Syarikat Fuelsubs House Sdn Bhd (FSH), untuk mengurus subsidi minyak petrol dan Encik Habibul Rahman adalah pengarah urusan syarikat tersebut.
Kepada soalan Encik Muhammad Saifuddin adakah Encik Habibul Rahman memberitahu daripada siapakah pembayaran itu diterima, saksi itu berkata, “tidak”.
Mengulas lanjut Encik Ashraf berkata setelah beliau menerima cek itu yang diambil dari Encik Habibul Rahman sendiri di kediaman tokoh korporat itu, beliau sudah mendepositkannya ke dalam akaun semasa Bank CIMB atas nama firma guaman itu.
Ketika ditanya adakah Encik Ashraf tahu mengapa Encik Habibul Rahman memilih untuk menyerahkan cek itu kepadanya dan bukan Encik Habibul Rahman sendiri yang mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun, saksi itu berkata dia tidak tahu.
Encik Ashraf juga berulang kali menyatakan beliau tidak tahu sumber wang itu dan tidak pernah bertanyakan Encik Habibul Rahman mengenainya kerana lelaki itu seorang tokoh korporat yang disegani.
Ketika disoal balas peguam Encik Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Encik Najib, bahawa adakah kemungkinan Encik Ashraf terlupa apa yang diberitahu Encik Habibul Rahman berkenaan cek tersebut sama ada ia untuk kontrak pertahanan atau perkara lain, saksi itu berkata, “Tidak, saya jelas beliau berkata kepada saya ia dari ‘defence contract’.
Saksi ke-19, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Operasi Penjelasan Cek Bank Cimb, Edward anak lelaki Innasi Born, 58, mengesahkan cek berjumlah RM2.5 juta (S$823,000) sudah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Firma Guaman Tetuan Zulkarnain Co bertarikh 2 Feb 2015.
Saksi itu yang sudah berkhidmat sebagai timbalan pengurus besar di jabatan itu sejak 2004 turut mengecamkan salinan cek tersebut yang ditunjukkan pihak pendakwaan.
Najib, 66 tahun, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.