Skip to main content

Dunia

Bicara kes Muhyiddin: RM16.4 juta dibayar kepada syarikat Nepturis bagi projek IPD Klang Utara

Kerajaan telah menjelaskan bayaran berjumlah RM16.4 juta (S$5.14 juta) kepada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, demikian Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu pada Isnin (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Bicara kes Muhyiddin: RM16.4 juta dibayar kepada syarikat Nepturis bagi projek IPD Klang Utara

Mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (kanan) yang ditemani isteri, hadir di Mahkamah Tinggi, bagi perbicaraan berhubung tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Aug 2026 07:33PM
  • Kerajaan Malaysia membayar RM16.4 juta kepada Nepturis Sdn Bhd untuk projek IPD Klang Utara melalui lapan transaksi antara Mei 2022 hingga Februari 2023, disahkan oleh mantan Pengarah JKR Selangor.
  • Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan Muhyiddin Yassin yang didakwa menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa antara 2020 hingga 2022.
  • Saksi turut mengesahkan kerajaan menerima tawaran tender RM605.2 juta daripada Sutracom Sdn Bhd untuk projek Lingkaran Pulau Indah Fasa 3, serta pindaan pertuduhan melibatkan KCJ Engineering Sdn Bhd.
  • Proses pembayaran dan tender disahkan mematuhi prosedur, dengan beberapa pembayaran lain masih dalam proses, manakala perbicaraan bersambung pada 18 Ogos.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menjelaskan bayaran berjumlah RM16.4 juta (S$5.14 juta) kepada syarikat Nepturis Sdn Bhd bagi projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, demikian Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu pada Isnin (17 Ogos).

Mantan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Lokman Nasir, 62, berkata bayaran bagi nilai kontrak bernilai RM141 juta (S$44.19 juta) itu dilakukan melalui lapan transaksi antara 17 Mei 2022 hingga 3 Februari 2023.

Saksi pendakwaan ke-23 itu mengesahkan perkara tersebut selepas dirujuk dengan Baucar Bayaran Kerajaan Malaysia ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

"Saya sahkan ini adalah dokumen Baucar Bayaran Kerajaan Malaysia Arahan Pembayaran Daripada kumpulan PTJ (pusat tanggungjawab) Negeri Selangor, JKR kepada Nepturis Sdn Bhd. Saya sahkan tujuan bayaran ini dibuat bagi perihal bayaran Projek Membina Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor.

"Berdasarkan baucar bayaran ini, saya sahkan bahawa bayaran telah dibuat ke akaun Maybank Islamic Berhad Nepturis," kata beliau dalam pernyataan saksi.

Pada prosiding sebelum ini, seorang ahli perniagaan, Lian Tan Chuan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah meminta Pengarah Urusan Nepturis Mohd Rizman Akum Khan menyediakan cek berjumlah RM1 juta (S$310 ribu) untuk dibayar kepada Bersatu.

Encik Lokman, yang bersara pada April, turut mengesahkan bahawa projek IPD Klang Utara adalah di bawah bidang kuasa serta sumber kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Selain itu, terdapat beberapa pembayaran lain, yang masih dalam proses atau belum dilaksanakan pada waktu berkenaan,” kata beliau.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai prosedur pembayaran, Encik Lokman mengesahkan tiada sebarang ketidakpatuhan dikesan dalam proses transaksi oleh kerajaan ketika itu.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-24, Zulkipeli Yamat memberitahu mahkamah bahawa kerajaan turut bersetuju menerima tawaran tender bernilai RM605.2 juta (S$189.67 juta) daripada Sutracom Sdn Bhd bagi projek membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa 3.

Encik Zulkipeli, yang merupakan mantan Pengarah Perkhidmatan Ukur Bahan JKR turut mengesahkan Surat Setuju Terima bagi kontrak berkenaan yang perlu ditandatangani oleh pihak kerajaan dan syarikat Sutracom.

Awal dari itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan keempat dengan memasukkan nama syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, selepas pihak pembelaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Encik Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta (S$70.61 juta) bagi parti tersebut daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Mantan Perdana Menteri itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 (S$3,134.06) mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta (S$62.68 juta) daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta (S$1.57 juta), mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung pada Selasa (18 Ogos).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita