Skip to main content

Dunia

Biar UMNO tanggung padah jika paksa rakyat keluar mengundi semasa banjir, kata Rafizi

Anggaran Waktu Membaca:
Biar UMNO tanggung padah jika paksa rakyat keluar mengundi semasa banjir, kata Rafizi

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Oct 2022 11:03AM Dikemas Kini : 01 Oct 2022 11:04AM
KUALA LUMPUR: UMNO akan terima nasib sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika mengadakan PRU15 ketika banjir.

Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli, ia sama seperti peringatan sebelum ini supaya UMNO mengambil tindakan terhadap Najib Razak dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), jika tidak mahu dihukum rakyat.

"Malam ini (Jumaat) UMNO bermesyuarat untuk memaksa Perdana Menteri memanggil pilihan raya walaupun semua ramalan cuaca memberi amaran mengenai bencana banjir yang akan tiba."
"Saya berharap ada satu dua pimpinan UMNO yang berfikir mengenai perasaan dan kepayahan rakyat apabila banjir tiba."

"Saya tidaklah menaruh harapan tinggi kerana kalau UMNO jenis yang fikirkan perasaan rakyat, skandal 1MDB tidak berlaku."

"Adalah menjadi tanggungjawab saya mengingatkan semua bahawa jika PRU15 diadakan semasa banjir, jangan ambil mudah kemarahan rakyat," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat (30 Sep).

Dalam pada itu, Encik Rafizi berkata bahawa sekiranya UMNO tidak mempertimbangkan isu ini maka rakyat berkemungkinan akan menggugurkan UMNO semasa PRU15.

"Tandatangan petisyen agar kerajaan tumpu kepada persediaan banjir, bukan sibuk panggil pilihan raya menerusi bit.ly/TumpuBanjir. Selamatkan nyawa, bukan jawatan politik," jelasnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan tiga sebab membantah pilihan raya diadakan semasa banjir.

"Seluruh tumpuan negara terutamanya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sepatutnya ke arah membina persiapan menghadapi banjir dan bukannya berpolitik."

"Kedua, belanja mengadakan PRU adalah sekitar RM1 bilion (S$309 juta). Jumlah ini sewajarnya diperuntukkan terlebih dahulu untuk membuat siap siaga membantu rakyat hadapi banjir.

"Ketiga ratusan ribu penjawat awam akan terikat dengan tugasan menganjurkan pilihan raya sedangkan sepatutnya fokus mereka adalah bersiap sedia membantu rakyat dan menguruskan musibah banjir yang akan tiba," jelasnya.

Encik Rafizi menambah bahawa UMNO melihat banjir sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kuasa di Putrajaya.

"Saya bimbang dengan kebajikan ratusan ribu keluarga yang akan terjejas teruk akibat musibah banjir ini."

"Tandatangan petisyen membantah pilihan raya diadakan musim banjir untuk menyampaikan hasrat rakyat membantah cadangan ini," katanya.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita