Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berumur 90 tahun, pesilat tertua Indonesia ini buktikan usia hanyalah angka...

“Daasshh!” teriak Encik Zakaria, pesilat warga Indonesia berusia 90 tahun, sambil menendang kaki kanannya tinggi ke udara, menonjolkan keahlian seni belanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Berumur 90 tahun, pesilat tertua Indonesia ini buktikan usia hanyalah angka...

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 28 Mar 2021 09:56PM Dikemas Kini : 28 Mar 2021 10:00PM

JAKARTA: “Daasshh!” teriak Encik Zakaria, pesilat warga Indonesia berusia 90 tahun, sambil menendang kaki kanannya tinggi ke udara, menonjolkan keahlian seni belanya.

Encik Zakaria, adalah pengamal silat paling tua di negara itu, menurut Museum Rekor Dunia Indonesia (MURI) pada Ogos lalu.

“Saya kaget (terperanjat), begitu mendadak,” imbas beliau kepada saat muzium itu menelefonnya.

Berkongsi kepada Mediacorp, beliau menceritakan muzium itu meminta beberapa bukti sebelum mengisytiharkannya sebagai pesilat tertua di negara itu.

Pencak silat adalah seni bela diri tradisional yang beraneka gaya aliran, mengikut daerah.

Sebelum kemerdekaan Indonesia pada 1945, pencak silat diamalkan di Jakarta oleh jaguh-jaguh tempatan untuk melindungi orang kebanyakan daripada samseng atau tentera penjajah.

Namun bagi Encik Zakaria, pencak silat bukan sekadar seni bela diri.

“Ia adalah olahraga, jadi baik untuk kesihatanmu. Waktu saya berada di Malaysia, orang-orang terpesona ketika mereka melihat apa yang bisa (boleh) saya lakukan di usia saya,” kongsinya kepada Mediacorp.

“Dengan pencak silat, saya juga mendapat banyak teman. Saya memiliki ribuan pelajar,” tambahnya lagi.

PENGARUH SENI BELA DIRI CINA

Dilahirkan di Jakarta pada Jun 1930, Encik Zakaria mula belajar seni mempertahankan diri pada usia 15 tahun dari datuknya Muhammad Djaelani, yang menubuhkan sekolah persilatan Mustika Kwitang pada 1945.

Mustika Kwitang adalah gaya silat Betawi yang dikembangkan di Kwitang, Jakarta, kampung halaman Encik Zakaria. Betawi adalah kumpulan etnik asli yang tinggal di bandar. Bagaimanapun Mustika Kwitang berbeza daripada gaya silat Betawi yang lain kerana ia merupakan pensenyawaan antara pencak silat tempatan dengan pengaruh seni bela diri China.

Pada kurun ke-19, buyut Encik Zakaria pernah bertarung dengan seorang pedagang China bernama Kwee Tang Kiam, yang juga seorang ahli seni mempertahankan diri.

Tidak diketahui siapa yang menang, tetapi setelah perlawanan itu, Encik Kwee mengajar seni mempertahankan diri yang dikuasainya kepada buyut Encik Zakaria. Dipercayai bahawa ini adalah bagaimana gaya Mustika Kwitang dikembangkan dan kemudian berkembang dari semasa ke semasa.

Ia memerlukan teknik mengelak dan juga serangan tapak tangan terbuka tetapi Encik Zakaria berkata kekuatannya terletak pada tumbukan kuatnya.

Kecamatan Kwitang di Jakarta dipercayai berasal dari nama Kwee Tang Kiam.

PERSEMBAHKAN SILAT DI ISTANA, DI MERATA DUNIA

Pada 1948, Indonesia menganjurkan buat pertama kalinya acara nasional pelbagai sukan yang dikenali sebagai Pekan Olahraga Negara (PON). Encik Zakaria menyertai pertandingan itu dan menarik perhatian penonton.

"Pada 1950, saya diundang untuk pertama kalinya oleh presiden Sukarno (presiden pertama Indonesia) untuk tampil di istana," kata Encik Zakaria.

Semasa PON kedua diadakan pada 1951, Encik Zakaria memenangi pingat emas. Pada 1952, datuk Encik Zakaria menginginkan beliau mengajar dan mengetuai sekolah pencak silat Mustika Kwitang.

Beberapa tahun kemudian, Encik Zakaria diundang ke istana sekali lagi, tetapi kali ini untuk mengajar pencak silat kepada pengawal presiden.

Semasa tempoh itu, guru silat itu juga menunjukkan kehebatannya di hadapan guru Shotokan Masatoshi Nakayama dan Donald Draeger.

"Banyak orang asing yang ingin belajar pencak silat," kata guru silat itu yang mempunyai 14 anak, 60 cucu dan 34 cicit.

Sejak itu, Encik Zakaria mengembara ke sekurang-kurangnya 11 negara untuk mengajar pencak silat, dari negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura ke negara-negara di Eropah seperti Perancis dan United Kingdom.

RAMAI ANAK DIDIK DI SELURUH INDONESIA

Oleh kerana gaya Mustika Kwitang menekankan tumbukan yang kuat, Encik Zakaria menjelaskan seseorang mesti mempunyai iltizam yang kuat untuk menguasai gerakan.

Beliau mempunyai murid yang menguasai pencak silat Mustika Kwitang dalam empat bulan, tetapi juga mempunyai anak didik yang setelah empat tahun masih menghadapi cabaran.

"Itu semua bergantung pada pelajar.

"Dan jika anda sudah menguasai jurus-jurusnya, anda akan meraih keyakinan diri," kata guru itu.

Hari ini, sekolah pencak silat Mustika Kwitang mempunyai tujuh cawangan di seluruh Jakarta. Encik Zakaria mempunyai ramai anak didik di Medan, Makassar, Pekalongan dan tempat-tempat lain.

Bagaimanapun, sejak wabak COVID-19 melanda, kelas diadakan secara online. Pada masa ini Encik Zakaria mempunyai sekitar 200 pelajar aktif berusia antara enam hingga awal 20-an.

"Saya gembira kerana pelajar yang saya ajar sihat walafiat.

"Semoga para pelajar ini dapat memimpin negara dan negeri ke jalan yang benar."

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan