Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bertindak sekarang kekang Omicron, tegas ketua WHO

Agihan vaksin di negara-negara miskin, dan bukan borong suntikan penggalak di negara mewah, adalah kunci membendung varian Omicron: WHO

Anggaran Waktu Membaca:
Bertindak sekarang kekang Omicron, tegas ketua WHO

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 07:51AM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 07:54AM

GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa pemerintah-pemerintah supaya bertindak segera bagi membendung penularan virus COVID-19 varian Omicron.

Dalam taklimat media di Geneva pada Rabu (8 Dis), Dr Tedros Ghebreyesus juga menggesa dipercepatkan program vaksinasi.

Beliau memberi amaran, penularan sejagat Omicron membayangkan bahawa varian itu boleh memberi kesan besar kepada pandemik COVID-19, meskipun masih terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana suntikan sedia ada akan menawarkan perlindungan terhadap varian baru itu, tambahnya.

Namun tegasnya, sekarang adalah masanya untuk mengekang penularan varian itu sebelum lebih ramai pesakit Omicron dimasukkan ke hospital, kata Dr Ghebreyesus.

Omicron telah dikesan di 57 negara.

"Kami menyeru semua negara agar meningkatkan pengawasan, ujian dan penjujukan," katanya semasa taklimat media itu. "... Sebarang sikap sambil lewa sekarang akan menyebabkan korban nyawa."

Pengarah program kecemasan WHO, Mike Ryan berkata, memandangkan varian itu kelihatan lebih mudah menular, usaha harus diperhebat untuk memutuskan rantaian jangkitan.

WHO menarik perhatian kepada bukti awal daripada BioNTech dan Pfizer tentang keberkesanan vaksin mereka terhadap Omicron.

Syarikat Jerman dan AS itu menyatakan pada Rabu, tiga suntikan vaksin COVID-19 buatan mereka dapat meneutralkan varian Omicron baru dalam ujian makmal, manakala dua dos menghasilkan antibodi lebih rendah dengan faktor 25.

Namun, ketua saintis WHO Dr Soumya Swaminathan memberi amaran masih terlalu awal untuk menyimpulkan sama ada pengurangan antibodi peneutralan bermakna suntikan itu kurang berkesan.

"Kami masih tidak tahu kerana seperti yang anda tahu sistem imun adalah lebih rumit," katanya.

"Jadi apa yang kita perlukan sekarang ialah untuk menyelaraskan usaha penyelidikan dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan kajian satu persatu."

Ketua unit penyelidikan dan pembangunan WHO, Ana Maria Henao-Restrepo, pula berkata mesyuarat tertutup melibatkan para pakar pada Isnin telah menyemak keputusan data awal berhubung keberkesanan vaksin terhadap Omicron.

"Antibodi peneutralan adalah satu maklumat penting, ia memainkan peranan penting dalam mengawal jangkitan, tetapi ia hanya sebahagian daripada perlindungan terhadap penyakit yang teruk," jelasnya.

WHO juga berkata ia akan menerbitkan ulasan mengenai pendiriannya terhadap dos penggalak dalam masa beberapa hari akan datang. Namun dengan kadar vaksinasi rendah yang membimbangkan di kebanyakan negara membangun, pengagihan dos asas - bukannya penggalak - kekal menjadi keutamaannya.

"Memborong dos penggalak bukanlah penyelesaiannya," tegas Dr Swaminathan.

Sumber : Reuters/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa