Bertambahnya permintaan dadah di Eropah antara punca lonjakan penyeludupan di KLIA: Polis Malaysia
Peningkatan permintaan terhadap dadah, khususnya bunga ganja di Eropah, dipercayai antara punca lonjakan kegiatan penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan mengandungi dadah yang dirampas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 4 Ogos 2026. (Gambar: Bernama)
- Peningkatan permintaan bunga ganja di Eropah menyebabkan lonjakan kes penyeludupan dadah di KLIA, menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Hussein Omar Khan.
- Antara Januari hingga Julai tahun ini, 108 kes dicatatkan dengan rampasan dadah bernilai RM108.35 juta dan 121 tangkapan, termasuk warga asing.
- Dadah yang diseludup kebanyakannya berasal dari negara jiran dan dibawa masuk melalui laluan laut atau darat sebelum dihantar ke Eropah dan negara jiran lain.
- PDRM bersama Polis Bantuan MAHB dan Kementerian Pengangkutan mempertingkat penguatkuasaan, termasuk operasi khas yang menahan 15 suspek dan merampas dadah bernilai RM42 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata 108 kes jenayah dadah dicatatkan di KLIA antara Januari hingga Julai tahun ini, berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah dadah yang dirampas juga meningkat sekitar enam kali ganda, daripada 235.36 kilogram bernilai RM18.46 juta (S$5.79 juta) pada 2025 kepada 1.35 tan bernilai RM108.35 juta (S$33.98 juta) setakat ini.
Jumlah tangkapan, termasuk warga asing yang disyaki terlibat dalam penyeludupan atau pengedaran dadah menerusi KLIA, turut meningkat kepada 121 orang berbanding 57 orang pada 2025.
Menurut Encik Hussein, bunga ganja mencatatkan permintaan tinggi di Eropah sejak penghujung tahun lalu, antaranya kerana kemungkinan digunakan bagi tujuan perubatan dan diekstrak menjadi cecair untuk rokok elektronik.
Polis turut mengenal pasti bahawa bekalan dadah tersebut bukan berasal dari Malaysia, sebaliknya diperolehi dari negara jiran dan dibawa masuk menerusi laluan laut atau darat dari utara.
Sekitar 80 peratus daripada bekalan itu kemudian dibawa keluar untuk pasaran negara jiran dan Eropah.
PENGUATKUASAAN DI KLIA DIPERTINGKAT
Encik Hussein berkata tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan menerusi kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Pihak polis juga bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan agensi berkaitan untuk memperkukuh penguatkuasaan di lapangan terbang bagi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah.
Menurut beliau, terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap keselamatan melibatkan penumpang dan barangan di KLIA.
Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan 15 suspek berusia antara 18 hingga 53 tahun menerusi Ops Khas KLIA dan Ops Kalidasa dalam serbuan berasingan pada hujung bulan lalu.
Operasi tersebut melibatkan rampasan dadah bernilai RM42 juta (S$13.17 juta).
Ops Khas KLIA menyaksikan rampasan 260.08 kilogram bunga ganja dan 1.01 kilogram kokain.
Ops Kalidasa pula melibatkan rampasan 409.4 kilogram methamphetamine serta 900 kartrij cecair rokok elektronik yang mengandungi 1.8 liter cecair MDMA.
Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.