'Bersedialah dipimpin kerajaan tempang, tumbang', sindir Rais Yatim
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Dr Rais Yatim, menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu (16 Nov) menunjukkan rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini.

Dr Rais Yatim. (Gambar: drraisyatim/Instagram)
SHAH ALAM: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Dr Rais Yatim, menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu (16 Nov) menunjukkan rakyat sudah muak dengan kerajaan hari ini.
Menerusi catatannya di Twitter, mantan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata ketewasan tersebut teruk dan "membawa mesej berbentuk gegaran letupan".
"Jika terus tak peduli janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kalau terus bermenteri tiga suku dan buta, tuli jeritan rakyat, bersedialah untuk berkerajaan tempang dan tumbang di pilihan raya akan datang," tulisnya seperti yang ditukil Sinar Harian.
Catatan Dr Rais itu dipercayai ditujukan kepada kerajaan hari ini, sebagai teguran agar pucuk kepimpinan tersebut lebih berwaspada dan tidak mengabaikan janji-janji mereka kepada rakyat termasuk kekalahan PH dalam PRK kali ini.
PRK Parlimen Tanjung Piai pada Sabtu lalu (16 Nov) menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Dr Wee Jeck Seng, merampas semula kerusi Parlimen itu dengan majoriti besar sebanyak 15,086 undi.
Dr Wee, 55 tahun, memperolehi 25,466 undi. Beliau mengatasi pencabar terdekatnya iaitu calon PH, Karmaine Sardini, yang meraih 10,380 undi.
Empat lagi calon yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) hanya memperoleh 1,707 undi, Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah) dengan 850 undi serta dua calon bebas, masing-masing Dr Ang Chuan Lok (380 undi) serta Faridah Aryani Abdul Ghafar (32 undi).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.