Skip to main content

Dunia

'Bersedia berdepan keadaan lebih buruk': Kes baru COVID-19 M'sia jangkaui 7,200

Rekod tertinggi kes di Malaysia sebelum ini adalah pada dua hari lalu, apabila ia melaporkan 6,976 kes baru.

Anggaran Waktu Membaca:
'Bersedia berdepan keadaan lebih buruk': Kes baru COVID-19 M'sia jangkaui 7,200

Petugas kesihatan di pusat ujian COVID-19 di Kuala Lumpur. (Gambar: Reuters/Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 25 May 2021 06:18PM Dikemas Kini : 25 May 2021 06:22PM

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini (25 Mei) melaporkan jumlah jangkitan yang mencecah satu lagi paras rekod, kali ini sebanyak 7,289 kes baru COVID-19, sekali gus kes jangkitan harian paling tinggi di negara itu sejak pandemik melanda.

Ini juga pertama kali jumlah kes baru melepasi 7,000.

Rekod tertinggi kes di Malaysia sebelum ini adalah pada dua hari lalu, apabila ia melaporkan 6,976 kes baru.

Negara itu mencatatkan lebih 6,000 kes baru sehari selama tujuh hari berturut-turut sedang ia bergelut untuk membendung gelombang ketiga COVID-19. Peningkatan kes itu menimbulkan masalah kekurangan katil di unit-unit jagaan rapi (ICU) hospital.

Daerah Klang Valley menyumbang lebih sepertiga kes baru - Selangor dengan 2,642 kes manakala Kuala Lumpur melaporkan 604 kes.

Negeri Sembilan pula melaporkan 410 kes dan Pahang dengan 211 kes.

Johor melaporkan 664 kes baru manakala Pulau Pinang mencatat 380 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa kes-kes harian COVID-19 di Malaysia menunjukkan "trend peningkatan yang sangat tinggi".

"Peningkatan kes bermula dari 1 April 2021 dan mungkin mencetuskan satu peningkatan yang sangat tinggi. Kita mesti bersedia berdepan dengan keadaan lebih buruk," menurut beliau dalam catatan Twitternya pada tengah hari tadi.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya duduk di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan.
"Perbuatan tidak mengendahkan fakta dan data tidak membantu atau memberi pelbagai alasan untuk tidak duduk di rumah," kata beliau.

Semalam, Malaysia mencatat jumlah rekod kes kematian akibat COVID-19 sebanyak 61 kes.

Selain itu, terdapat 711 pesakit di ICU, iaitu satu lagi angka rekod.

Pihak berkuasa kesihatan sudah berulang kali memberi amaran tentang kadar kenaikan kes yang memerlukan tempat di ICU.

Setakat hari ini, Malaysia mencatatkan sebanyak 525,889 kes COVID-19. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita