Skip to main content

Dunia

Bersatu terima peletakan jawatan Wan Saiful sebagai Ketua Penerangan parti

Anggaran Waktu Membaca:
Bersatu terima peletakan jawatan Wan Saiful sebagai Ketua Penerangan parti

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Feb 2023 03:22PM

KUALA LUMPUR: Bersatu menerima peletakan jawatan Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan parti itu, berkuat kuasa Rabu (22 Feb), kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Encik Muhyiddin berkata Bersatu menerima permohonan Encik Wan Saiful secara lisan pada pertemuan pagi Rabu dan surat rasmi peletakan jawatan itu akan dihantar pada hari yang sama. 

“Pagi tadi selepas kita berbincang, beliau bersetuju untuk meletak jawatan itu… berkuat kuasa hari ini.

“(Keputusan itu) bukan kerana kita mengatakan dia sudah bersalah atau tidak, tetapi (sebagai) satu standard yang ingin kita tunjukkan bahawa kerana (apabila) beliau berhadapan dengan tuduhan (mahkamah) supaya tidak timbul apa-apa salah pandangan terhadap Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat pada Rabu, selepas menghadiri majlis pelancaran Misi dan Dana Bantuan Ahli Parlimen Perikatan Nasional Gempa Bumi Turki dan Syria di bangunan Parlimen.

Encik Muhyiddin berkata Bersatu amat menghargai dan menyifatkan tindakan Encik Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor melepaskan jawatan itu sebagai terhormat, kerana langkah itu akan menangkis tanggapan negatif terhadap parti itu.

“Dengan cara ini (melepaskan jawatan) kita dapat berhadapan dengan rakyat atas dasar yang bermaruah… ini bukan menghukum dia, dia buat (letak jawatan) secara sukarela…,” katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata Bersatu akan melantik seorang Ahli Majlis Tertinggi Bersatu untuk menggalas jawatan itu dalam tempoh segera kerana jawatan tersebut mempunyai tanggungjawab besar terutama dalam tempoh persiapan menghadapi pilihan raya negeri.

Awal Rabu, Encik Wan Saiful mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan Ketua Penerangan Bersatu susulan pendakwaan terhadapnya di mahkamah semalam atas pertuduhan rasuah.

Pada Selasa (21 Feb), Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta (S$2.1 juta) berhubung projek Jana Wibawa.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita