Skip to main content

Dunia

Bersatu, PAS akan teliti cadangan UMNO tubuh 'kerjasama agung'

Anggaran Waktu Membaca:
Bersatu, PAS akan teliti cadangan UMNO tubuh 'kerjasama agung'

Encik Muhyiddin Yassin. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 18 Jan 2026 07:58PM Dikemas Kini : 18 Jan 2026 07:59PM
KUALA LUMPUR: PAS akan meneliti bentuk kerjasama yang dicadangkan oleh UMNO untuk menyatukan orang Melayu melalui sebuah “gabungan besar”, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Kita akan meneliti bentuk kerjasama yang dinyatakan kerana ia satu lontaran dalam Perhimpunan UMNO," katanya kepada Astro AWANI.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun berkata bahawa kenyataan itu dilihat aneh apabila pada masa yang sama UMNO masih mengekalkan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Apakah maksud dan tujuannya? Jika sokongan kepada kerajaan PH terus dikekalkan, keadaan ini hanya akan mengelirukan rakyat," tambah beliau.

Pada Sabtu (17 Jan), Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pertemuan dengan para pemimpin PAS dan Bersatu bagi membincangkan usaha menyatukan orang Melayu melalui sebuah "gabungan besar".

Katanya, gabungan itu dijangka melibatkan sekurang-kurangnya 10 pemimpin tertinggi parti Melayu-Islam, termasuk presiden, timbalan presiden dan kepimpinan kanan lain.

Dalam ucapan penggulungannya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025, Encik Ahmad Zahid menyatakan hasrat untuk membentuk gabungan baharu bagi menghimpunkan semua parti Melayu-Islam di bawah satu payung.

Beliau menegaskan gabungan itu tidak mengancam kerajaan perpaduan serta memberi jaminan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak berniat untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

Matlamatnya ialah menyatukan semangat dan perjuangan parti Melayu-Islam dalam kerangka lebih besar, sebagai sekutu tidak rasmi di bawah satu bumbung, ujarnya.

Encik Ahmad Zahid turut menolak cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional kerana nama itu telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Bersatu juga akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkenaan ‘kolaborasi agung’ untuk menyatukan parti politik Melayu-Islam.

Presidennya, Muhyiddin Yassin mengambil sikap terbuka setelah mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai cadangan itu.

“Saya ingin mengambil sikap terbuka dalam hal ini, Bersatu akan menimbangkan cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO setelah mendapat input yang lebih jelas mengenainya,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini (18 Jan).

Mantan Perdana Menteri itu turut menegaskan bahawa sebarang perbincangan rentas parti melibatkan kerjasama antara Bersatu dan UMNO hendaklah mengikut saluran rasmi parti dengan dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Encik Muhyiddin dalam pada itu turut menyatakan tidak pernah memberi mandat kepada mana-mana pemimpin Bersatu untuk berunding dengan UMNO.

“Bersatu tidak pernah memberikan mandat secara rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk berunding dengan UMNO.

"Perkara ini juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,” katanya lagi.

Encik Muhyiddin berkata perbincangan harus mengambil kira pandangan rakan-rakan parti anggota Perikatan Nasional (PN) dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan itu difahamkan sebagai respons terhadap pengumuman Encik Ahmad Zahid mengenai pertemuan bersama pemimpin PAS dan Bersatu sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan olehnya semasa sidang selepas berakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam (17 Jan).

Media turut melaporkan bahawa Encik Ahmad Zahid telah memaklumkan hal ini kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan beliau memahaminya.

Menurutnya lagi, kolaborasi itu bersifat longgar (loose collaboration) dan bukan penubuhan sebuah parti politik baharu, namun disifatkan sebagai langkah awal yang penting ke arah penyatuan lebih besar.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita