Skip to main content

Dunia

BERSATU Johor susun semula kepimpinan peringkat bahagian

Anggaran Waktu Membaca:
BERSATU Johor susun semula kepimpinan peringkat bahagian
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor akan menyusun semula beberapa bahagian di negeri itu. (Gambar: Bersatu)
Diterbitkan : 28 Feb 2026 01:19PM Dikemas Kini : 28 Feb 2026 01:56PM

JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor akan menyusun semula beberapa bahagian di negeri itu menyusuli peletakan jawatan ketua dan ahli jawatankuasa di peringkat berkenaan baru-baru ini.

Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Johor, Samsudin Ismail berkata, langkah itu diambil bagi memperkemas dan memperkukuhkan struktur parti di beberapa bahagian yang dikenal pasti bermasalah.

"BPN BERSATU Negeri Johor mengambil maklum perkembangan semasa parti di peringkat pusat termasuk tindakan disiplin yang telah diambil terhadap timbalan presiden parti, Hamzah Zainuddin demi menjaga kestabilan, disiplin serta hala tuju perjuangan parti.

"Sehubungan itu, BERSATU Johor akan mengambil langkah segera untuk memperkemaskan semula struktur pertubuhan di beberapa bahagian yang dikenal pasti bermasalah, khususnya melibatkan kelemahan pentadbiran, perpecahan dalaman serta tindakan yang menjejaskan kesatuan parti di peringkat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (28 Feb), seperti dipetik BH Online.

Pada 18 Februari lalu, mantan Ketua Bahagian BERSATU Pontian, Isa Abdul Hamid mendakwa 11 Ketua Bahagian BERSATU Johor mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai kerana kecewa dengan konflik dalaman yang melanda parti itu.

Encik Samsudin berkata, langkah itu juga dilaksanakan bagi memastikan struktur kepimpinan bahagian kembali stabil dan dapat berfungsi dengan lebih berkesan, selain memastikan segala gerak kerja parti sentiasa selari dengan keputusan dan pendirian pimpinan pusat.

Pada masa yang sama, katanya, tindakan berkenaan diambil demi menjaga kebajikan ahli serta memastikan kekuatan jentera pilihan raya terus terpelihara dan berada pada tahap terbaik.

Usaha itu juga penting bagi menghentikan segera sebarang unsur perpecahan dan tindakan bersifat individu yang boleh menjejas kestabilan serta keharmonian parti.

"BERSATU Johor ingin menegaskan bahawa parti mengatasi kepentingan mana-mana individu, dan setiap kepimpinan di semua peringkat wajib mematuhi Perlembagaan Parti serta keputusan rasmi Majlis Pimpinan Tertinggi.

"BPN Johor juga akan bekerjasama dengan kepimpinan pusat bagi menilai kedudukan bahagian-bahagian terlibat termasuk pelantikan kepimpinan pemangku, penajaan baru, sekiranya perlu, demi memastikan kesinambungan pentadbiran parti tidak terjejas.

"Justeru, ahli-ahli parti di seluruh Johor diseru agar terus bertenang, memperkukuh saf perjuangan dan menumpukan usaha memperkasakan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa serta persiapan menuju pilihan raya akan datang," katanya, seperti dinukil BH Online.

Awal dari itu, pada 18 Februari lalu, mantan Ketua Bahagian BERSATU Pontian, Isa Abdul Hamid mendakwa 11 Ketua Bahagian BERSATU Johor mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai kerana kecewa dengan konflik dalaman yang melanda parti itu.

Sumber : Agensi berita/IM/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita