Bersatu belum putuskan bertanding di PRK Batu Sapi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Encik Masidi Manjun.
(Gambar: Bernama)
KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Encik Masidi Manjun.
"Sejujurnya, setahu saya tiada apa-apa. (Bersatu) masih belum buat apa-apa keputusan," katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada sidang media harian Kerajaan Negeri Sabah mengenai situasi semasa COVID-19 pada Jumaat (13 Nov).
Demikian jawapan ringkas beliau mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Encik Bung Moktar Radin bahawa terdapat khabar angin mengenai seorang pemimpin Bersatu di kawasan Batu Sapi yang berminat untuk bertanding di kawasan itu.
Semalam (13 Nov), Encik Bung Moktar, dilaporkan berkata Barisan Nasional (BN) Sabah akan menyokong calon daripada mana-mana parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya parti dalam gabungan itu memilih untuk bertanding dalam PRK Parlimen Batu Sapi.
PRK Parlimen Batu Sapi diadakan menyusuli kematian penyandangnya Encik Liew Vui Keong daripada Warisan pada 2 Okt lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 23 Nov ini sebagai tarikh penamaan calon, 1 Dis sebagai tarikh mengundi awal dan 5 Dis sebagai tarikh mengundi.
GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS, yang membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 baru-baru ini.
PN dianggotai Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), dan Parti Progresif Sabah (SAPP), manakala BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.