Bersatu bantah Parti Cinta Malaysia sertai Perikatan Nasional, dakwa proses tidak ikut prosedur
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membantah keras tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Moktar yang didakwa memaksa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan. (Gambar fail)
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata ini kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan.
“Bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti anggota apabila Pas memutuskan hubungannya dengan Bersatu.
"Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (23 Jun).
Encik Ahmad Faizal berkata permohonan penyertaan ke dalam PN dikemukakan Encik Saifuddin Abdullah atas kapasiti Setiausaha Agung PCM, sedangkan semakan rasmi mendapati jawatan tersebut bagi sesi 2026-2027 disandang Encik Yeo Kwee Kwang.
Lebih mengelirukan, katanya, dokumen kepimpinan yang dikemukakan menggunakan nama Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat atas nama Parti Cinta Malaysia.
Tambah beliau, berdasarkan semakan pada Isnin, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), dan ia satu kesalahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Beliau memaklumkan, wakil Bersatu turut membangkitkan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bertarikh 22 Jun lalu yang menyatakan beberapa dokumen dikemukakan Setiausaha Agung PN kepada jabatan itu didapati tidak lengkap selain tidak ditandatangani.
Katanya, berdasarkan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, RoS mengarahkan PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari dan berhak menangguhkan pertimbangan terhadap rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN sehingga semua isu berbangkit diselesaikan.
Pada Isnin, Encik Ahmad Samsuri mengumumkan PN menerima penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PCM sebagai anggota baharu gabungan itu selepas mesyuarat yang turut dihadiri wakil Pas, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.