Skip to main content

Dunia

Bersatu akan ambil tindakan terhadap 7 wakil rakyat kerana berpaling tadah

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan terhadap enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas Aidilfitri nanti.

Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, semua wakil rakyat itu bebas membuat tafsiran sendiri terhadap pindaan perlembagaan parti itu yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Begitupun, tegasnya, perkara dilakukan mereka bertentangan dengan dasar dan perlembagaan parti yang memungkinkan kerusi mereka dikosongkan.

“Tunggu saja masa yang dianggap sesuai supaya apa yang kita telah dilaksanakan dalam pindaan ini akan kita kuat kuasakan.

“Diharapkan dengan begitu, maka kerusi-kerusi terlibat itu, enam Parlimen dan satu DUN itu nanti akan terkosong.

“Ini kerana dalam perlembagaan itu mengatakan, jika seseorang mengambil langkah sebegini, maka keahlian dalam parti itu akan terhenti, tidak lagi jadi ahli.

“Maka kesannya kerusi itu mestilah dikosongkan. Bagi saya, tidak mengapa, mungkin mereka tak faham ataupun mereka sengaja nak cari alasan untuk menyatakan sesuatu, nak menyedapkan diri mereka sendiri.

“Ini bulan puasa, tidak mengapalah dia boleh beraya dulu, lepas itu kita akan mengambil langkah-langkah sewajarnya mengikut pindaan perlembagaan ini,” katanya menerusi rakaman video dimuat naik ke Facebook rasmi beliau pada Jumaat (5 Apr), dipetik Astro Awani.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, pihaknya telah mengambil kira semua kemungkinan termasuk kedudukan wakil rakyat yang menyokong Perdana Menteri sebelum membuat pindaan itu.

“Tapi pastinya kita telah mengambil kira semua perkara ini sebelum kita membawa usul meminda perlembagaan.

“Ini kerana kita tahu tindakan-tindakan yang bukan sahaja enam, tapi ketujuh-tujuh, seorang ADUN dan enam Ahli Parlimen itu adalah sesuatu yang bertentangan dengan dasar parti dan keputusan parti,” ujarnya, lapor Astro Awani.

Media sebelum ini melaporan RoS telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pindaan perlembagaan parti tersebut boleh dijalankan bermula Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, langkah seterusnya ialah mengosongkan kerusi mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat Parlimen.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita