AS 'berniat jahat' pada rundingan Hanoi - Kim Jong Un
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menuduh Amerika Syarikat bertindak ‘dengan niat jahat’ pada perjumpaan terakhir mereka.
Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. (Gambar: Alexey NIKOLSKY/SPUTNIK/AFP)
VLADIVOSTOK, RUSIA: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, menuduh Amerika Syarikat bertindak ‘dengan niat jahat’ pada perjumpaan terakhir mereka.
Media di Pyongyang melaporkan hari ini (26 Apr) bahawa Encik Kim berkata demikian pada pertemuan julung kalinya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Kedua-dua pemimpin bertemu semalam di bandar pelabuhan Vladivostok di timur jauh Rusia, bagi sidang puncak pertama mereka bertujuan menangani pengaruh Amerika ketika Encik Kim bertelagah dengan Presiden Donald Trump berhubung senjata nuklear Pyongyang.
Encik Putin mahu menjadikan Moscow pemain penting dalam ketegangan baru global, dan Encik Kim nampaknya bersetuju dengan idea itu, dalam rundingan yang digambarkan agensi berita KCNA sebagai ‘tanpa syarat dan mesra’.
Presiden Putin, yang diketahui suka datang lewat dalam pertemuan dengan tetamu antarabangsa, menunggu Encik Kim ketika beliau melangkah keluar dari limosin yang membawanya.
Semasa rundingan, Presiden Kim berkata ‘keadaan di semenanjung Korea dan wilayah itu kini tegang dan mencapai titik kritikal’, lapor KCNA.
Beliau memberi amaran keadaan itu ‘mungkin kembali ke asal apabila Amerika mengambil pendirian bertindak sehala dengan niat tidak baik semasa pertemuan kedua Korea Utara dan Amerika di Hanoi, tambah agensi itu.
“Keamanan dan keselamatan di semenanjung Korea bergantung sepenuhnya kepada tindakan Amerika seterusnya, dan Korea Utara akan menahan diri sendiri bagi setiap kemungkinan,” Encik Kim dinukil sebagai berkata.
Sidang puncak Kim-Trump pada Februari lalu berakhir tanpa sebarang perjanjian mengenai senjata nuklear Korea Utara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.