Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Berjuta rakyat Indonesia berisiko dipenjara jika undang-undang seks di luar nikah dikuatkuasakan

Indonesia dijangka akan meluluskan kanun keseksaan baru yang menjadikan seks di luar nikah sebagai satu kesalahan jenayah dan memperkenalkan hukuman berat bagi kesalahan menghina maruah presiden.

Anggaran Waktu Membaca:
Berjuta rakyat Indonesia berisiko dipenjara jika undang-undang seks di luar nikah dikuatkuasakan

(Gambar: Wong Pei Ting/TODAY)

Diterbitkan : 19 Sep 2019 11:42PM Dikemas Kini : 19 Sep 2019 11:46PM

JAKARTA: Indonesia dijangka akan meluluskan kanun keseksaan baru yang menjadikan seks di luar nikah sebagai satu kesalahan dan memperkenalkan hukuman berat bagi kesalahan menghina maruah presiden - satu langkah yang dikritik oleh kumpulan-kumpulan hak asasi yang menyifatkannya sebagai serangan terhadap kebebasan asas.

Kanun jenayah baru itu dijadual diluluskan minggu depan selepas parlimen dan pemerintah mempersetujui draf terakhir pada Rabu depan (25 Sep), menurut empat anggota parlimen kepada Reuters.

Di bawah undang-undang yang diusulkan, pasangan belum berkahwin yang "hidup bersama seperti suami dan isteri" boleh dipenjarakan selama enam bulan atau dikenakan denda maksimum 10 juta rupiah (S$978), iaitu gaji sekitar tiga bulan bagi kebanyakan rakyat Indonesia.

Pendakwaan akan dimulakan jika penghulu kampung, yang mengetuai peringkat paling rendah pemerintah, memfailkan aduan kepada pihak polis dan tidak dibantah oleh ibu bapa atau anak-anak tertuduh. Ibu bapa, anak-anak dan pasangan tertuduh juga boleh membuat aduan.

Penyertaan ketua kampung dalam bidang kuasa ini dianggap wajar kerana "mangsa perbuatan zina juga adalah anggota masyarakat", kata seorang anggota parlimen, Teuku Taufiqulhadi.

KRITIKAN

Institut bagi Reformasi Keadilan Jenayah, sebuah NGO, menyatakan berjuta-juta rakyat Indonesia mungkin terperangkap dalam undang-undang baru itu. Ia turut menarik perhatian bahawa satu kajian mendapati bahawa 40 peratus warga muda Indonesia terlibat dalam kegiatan seks di luar nikah.

Hukuman penjara maksimum selama setahun juga boleh dikenakan ke atas sesiapa yang mengadakan hubungan seks dengan seseorang yang bukan pasangannya apabila seorang anggota keluarga terdekat membuat aduan.

Undang-undang baru itu juga akan dikuatkuasakan terhadap warga asing. Namun apabila ditanya sama ada pelancong di Indonesia boleh dikenakan hukuman penjara atas kesalahan seks di luar nikah, Encik Taufiqulhadi berkata: "Tidak ada masalah, selagi mereka tidak tahu."

Terdapat juga hukuman penjara maksimum selama empat tahun terhadap wanita yang menggugurkan kandungan tanpa alasan perubatan atau dirogol.

Dalam pada itu, parlimen memperkenalkan semula kesalahan "menyerang maruah" Presiden dan Naib Presiden Indonesia. Undang-undang serupa dimansuhkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada tahun 2006, dan versi baru undang-undang itu mungkin dicabar oleh para aktivis hak asasi.

Menghina pemerintah dan institusi-institusi negara juga membawa hukuman penjara.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan