BERITA+: Usaha Hong Kong tarik pengunjung Muslim
SINGAPURA: Pasaran pelancong Muslim dilaporkan sebagai yang paling pesat berkembang.
Oleh itu, ada beberapa destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti Hong Kong berusaha untuk jadi lebih mesra pelancong Muslim bagi meraih manfaat ekonomi daripada pertumbuhan itu.
Wartawan Nur Arina Ahmad telah ke Hong Kong untuk meninjau antara usaha menjadikannya lebih menarik bagi pelancong Muslim.
HONG KONG DISNEYLAND TAWAR MAKANAN HALAL
Daripada rendang hingga laksa, itulah antara hidangan halal yang ditawarkan di Disneyland Hong Kong.
Ia merupakan satu-satunya restoran halal di seluruh rangkaian Disneyland di dunia.
Selain makanan halal, kemudahan surau turut disediakan, lengkap dengan petunjuk arah kiblat.
Dengan ini, pengunjung dapat menjalankan ibadah mereka tanpa halangan.
Selain lokasi tarikan pelancong, pusat bandar Hong Kong juga semakin banyak menawarkan restoran halal dan kemudahan solat bagi memenuhi keperluan pelancong Muslim.
LEBIH 130 KEDAI MAKANAN DI HONG KONG DIIKTIRAF HALAL
Setakat ini, sebanyak 132 kedai makan telah mendapat pengiktirafan halal daripada Perbadanan Pemegang Amanah Dana Komuniti Islam Hong Kong.
Antaranya termasuk restoran yang menyajikan hidangan autentik Hong Kong, seperti di Islamic Centre Canteen yang terletak di tingkat atas Masjid Ammar dan Pusat Islam Osman Ramju Sadick.
Selain itu, terdapat hidangan seperti Mee Wanton dan nasi goreng untuk anda nikmati.
"Kami memulakan perniagaan ini kerana kami berpendapat tidak banyak pilihan makanan bagi penduduk Muslim di Hong Kong. Oleh itu kami ingin menawarkan makanan Cina kepada masyarakat Muslim. Lebih-lebih lagi, kami sendiri orang Muslim," kongsi Encik Osman Markar, anak pemilik Islamic Centre Canteen.
Malah, menurut Ketua Cef Yip Wing Wah proses R&D memakan masa sehingga setahun untuk disempurnakan.
Untuk itu, peniaga F&B seperti Imperial Patisserie juga menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencari bahan-bahan alternatif bagi menghasilkan produk halal seperti pencuci mulut tradisional ini.
SASAR ADA LEBIH 500 KEDAI F&B HALAL
Menjelang 2025, Hong Kong menyasarkan untuk mempunyai lebih 500 kedai F&B halal.
Menurut Indeks Perjalanan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2024, Hong Kong kini menduduki tangga keempat dalam kalangan destinasi bukan OIC yang paling mesra pelancong Muslim.
"Saya berpendapat bahawa terutamanya generasi Muslim yang lebih muda, mereka ingin mengunjungi destinasi yang baru. Oleh itu, mereka melihat Hong Kong. Hong Kong semakin menjadi destinasi yang baru kerana sebelum ini Hong Kong tidak mesra Muslim. Namun sejak tiga hingga empat tahun lalu, Hong Kong dipromosikan sebagai destinasi mesra Muslim. Oleh itu, lebih ramai keluarga Muslim yang berminat meneroka Hong Kong," menurut Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating dan HalalTrip, Fazal Bahardeen.
ATASI CABARAN PENUHI KEPERLUAN PELANCONGAN HALAL
Walaupun Hong Kong telah mencatat kemajuan dalam pelancongan halal, beberapa cabaran masih perlu diatasi.
"Para penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman atau kampung masih menghadapi cabaran mengunjungi masjid dan Pusat Pendidikan Quran. Selain itu, cabaran mengunjungi restoran Halal. Meskipun jumlah restoran halal sudah meningkat di kawasan bandar, di kawasan perkampungan atau terpencil, ia masih berkurangan," dedah Ketua Imam Masjid Kowloon kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis.
Kata Encik Taha: "Sudah tentunya masih ada ruang untuk diperbaiki. Tetapi berbanding sebelum ini, ia sudah banyak berubah. Contohnya, jika anda ke Disneyland, Ocean Park atau lapangan terbang, terdapat bilik solat yang dilengkapi dengan kemudahan mengambil wudhu. Sekarang ramai orang Muslim dari Timur Tengah atau Asia tenggara datang untuk pameran perdagangan sedunia, yang sekali gus memerlukan bilik solat. Jadi contohnya jika anda ke pameran perdagangan sedunia, ada bilik solat disediakan."
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana pihak pemerintah Hong Kong kini lebih peka terhadap keperluan makanan halal dan kemudahan mesra Muslim yang tersedia di negara itu.
Selain menarik pelancong Muslim, usaha itu juga bertujuan untuk memenuhi keperluan 300,000 penduduk Muslim di Hong Kong yang semakin berkembang.
Selain menyediakan lebih banyak pilihan makanan halal, pelbagai inisiatif lain juga sedang dilaksanakan untuk membangunkan ekosistem mesra Muslim di Hong Kong, termasuk dalam bidang pendidikan agama.
PENDIDIKAN AGAMA BAGI PENDUDUK ISLAM DI HONG KONG
"Pendidikan Fiqh dan Islam penting bagi penduduk Muslim di Hong Kong. Hampir 400 kanak-kanak datang ke sini setiap hari untuk mempelajari Al-Quran. Terdapat hampir 12 guru yang mengajar kanak-kanak ini. Pada sebelah pagi, mereka akan ke sekolah tempatan, manakala mereka ke sini untuk mempelajari Al-Quran pada waktu malam," Imam Masjid Kowloon, Mufti Muhammad Shoaib.
Baru-baru ini, Hong Kong memeterai perjanjian pelaburan bernilai S$1 bilion dengan Arab Saudi.
"Lebih banyak minat dari Timur Tengah dijangka akan datang, kerana saya percaya Hong Kong akan memperluas rangkaian udara ke Timur Tengah. Mereka mengumumkannya awal tahun ini, termasuk destinasi seperti Arab Saudi," kata Encik Fazal.
Usaha-usaha itu diharapkan dapat merapatkan jurang dan meningkatkan daya saing Hong Kong berbanding negara-negara lain di rantau ini, seperti Jepun, dalam meraih manfaat ekonomi daripada pasaran Muslim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.